Wednesday, May 23, 2018

PKNS enggan rombak pemain import

Johari Seman     1:23:00 AM    

KUALA LUMPUR: PKNS FC tidak akan terburu-buru merombak barisan pemain import sebaliknya lebih fokus untuk menghadapi setiap perlawanan dengan aksi bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat, malam esok menjadi keutamaan.

Jurulatih, Datuk K Rajagobal berkata beliau tidak berminat untuk memikirkan perkara lain ketika misi membawa pulang tiga mata dilihat lebih penting bagi mengukuhkan kedudukan kelab kendaliannya dalam Liga Super.

"Buat masa ini fokus kami adalah perlawanan menentang Melaka kerana mahu memastikan tiga mata menjadi milik kami. Walaupun mengalahkan mereka 2-0 dua minggu lalu, tapi kami tidak boleh ambil mudah kerana setiap perlawanan adalah berbeza.

"Malah, berdasarkan perlawanan lalu, kemenangan yang kami capai itu bukan diperoleh dengan mudah sebaliknya pemain 'berpeluh' untuk mengatasi mereka.

"Apatah lagi kali ini kami akan bermain di tempat lawan, sudah tentu suasananya sedikit berbeza berbanding beraksi di tempat sendiri. Jadi, kami perlu sentiasa fokus tanpa memikirkan soal lain," kata jurulatih itu.

Mengenai kenyataan pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abd Rashid berhubung usaha kelab itu untuk membawa kembali Gabriel Guerra ke pangkuan mereka, Rajagobal berkata beliau menyerahkan urusan itu kepada pihak pengurusan.

"Memang, jika ada ruang untuk meningkatkan prestasi pasukan, saya sentiasa terbuka untuk melakukan penambahbaikan. Jika tidak, saya akan berusaha melakukan yang terbaik dengan skuad yang ada.

"Lagi pun saya tidak perlu terburu-buru untuk mendapatkan pemain import baru kerana tempoh untuk melakukannya masih ada kira-kira dua minggu lagi," kata Rajagobal merujuk tarikh akhir musim perpindahan kedua pada 3 Jun depan.

PKNS kini menduduki tangga keempat liga dengan 17 mata hasil lima kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan daripada 10 perlawanan sementara Melaka di tangga ke-10 dengan 10 mata.

Related Posts

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. Bloggertheme9. BEBAS DAN DIYAKINI .