Wednesday, May 23, 2018

Kuala Lumpur Belasah Kelantan 5-1

Johari Seman     1:20:00 AM    

KUALA LUMPUR: Kehadiran pertahanan baharu, Alaeddine Bouslimi yang diharapkan dapat memperkasa benteng Kelantan tidak menjadi selepas pasukannya dibelasah Kuala Lumpur 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Lebih parah, pemain kelahiran Tunisia itu dilihat tidak begitu memberi impak apabila barisan pertahanan The Red Warriors mudah 'dipermainkan' jentera serangan Kuala Lumpur yang menyaksikan tuan rumah mendahului dua gol hanya dalam tempoh sembilan minit perlawanan.

Apapun, pesta gol ini sudah tentu memuaskan hati pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel apabila berjaya menebus kembali air mukanya selepas anak buahnya kecundang 2-4 di tangan pemain muda Kelantan pada aksi di tempat lawan sebelum ini.

Kemenangan ini juga boleh dianggap cukup manis memandangkan kali terakhir Kuala Lumpur meraih kemenangan ke atas jaguh Pantai Timur itu adalah pada 2004 sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam 15 perlawanan.

Pada aksi terbabit, Kuala Lumpur tidak perlu menunggu lama untuk menyentak semangat barisan muda pelawat apabila mendahului menerusi tandukan Guilherme de Paula yang memanfaatkan sepakan sudut Paulo Josue ketika perlawanan baru memasuki minit keempat.

Belum sempat Kelantan mencari rentak permainan, tuan rumah sekali lagi menggamatkan stadium apabila Paulo Josue menyambut hantaran tumit Zhafri Yahya dan meledak sepakan leret menewaskan Mohd Fikri Che Soh buat kali kedua lima minit berselang.

Hanya selepas dibolosi dua gol barulah Kelantan mendapat rentak permainan dan jentera serangan lebih kemas berjaya memberi ancaman kepada kubu tuan rumah dengan buruan gol berhasil apabila Shafiq Shaharudin menyambar hantaran Mohd Khairul Asyraf Ramli untuk gol pembukaan Kelantan pada minit ke-15.

Namun kerapuhan benteng pertahanan Kelantan sekali lagi terdedah apabila sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin mudah dikawal De Paula yang kemudiannya melepaskan rembatan padu ke gawang gol Kelantan untuk mereka kembali mendahului dua gol pada minit ke-22.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur menguji gawang Kelantan menerusi satu gerakan menarik namun percubaan deras Zhafri berjaya ditepis Mohd Fikri pada minit ke-46 sebelum pertahanan tuan rumah, Syazwan Andik menyelamatkan bola di hadapan pintu gol Kuala Lumpur hasil percubaan pemain Kelantan seminit berselang.

Kelantan terus derita apabila pemain gantian, Ashri Chuchu meledak gol keempat pada minit ke-77 sebelum seorang lagi pemain gantian, Junior Aparecido melengkapkan kemenangan bergaya Kuala Lumpur dengan gol kelima pada minit ke-85.

Related Posts

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. Bloggertheme9. BEBAS DAN DIYAKINI .