Sunday, May 27, 2018

Jamal Tidak Lari, Keluar Duit Tabung Haji

Johari Seman     1:08:00 PM    

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang dicari polis sejak kelmarin, akhirnya muncul dan menghubungi pasukan peguamnya untuk menyelesaikan proses ikat jamin yang tergendala.

Peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin, dalam satu kenyataan awal pagi tadi, berkata Jamal sudah menghubunginya dan memaklumkan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses berkenaan.

"Beliau menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses 'discharged' (keluar wad) untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.

"Pada ketika itu beliau (Jamal) percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna," katanya.

Mohd Imran berkata, Jamal juga memaklumkan beliau belum sihat, bukannya melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.

"Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah beliau benar-benar sihat.

"Kita percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau tersebut telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif," katanya.

Sementara itu, Jamal menerusi satu rakaman audio yang diedarkan kepada pihak media, mendakwa dia menyangka tempoh tahanan reman dan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya kelmarin sudah selesai.

"Kira-kira jam 3.15 petang, saya beredar dari hospital dan pergi ke Tabung Haji untuk mengeluarkan duit untuk digunakan bagi kos-kos seperti reman dan sebagainya.

"Saya terpaksa bergegas kerana mengejar masa, takut-takut waktu pejabat Tabung Haji tutup dan selepas berjaya mengeluarkan duit, saya mendapat panggilan mengatakan saya diburu polis.

"Tetapi ketika itu dalam keadaan saya kurang sihat, lebih baik saya berehat dahulu dan InsyaAllah saya akan tetap akan memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Kelmarin, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak jam 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Susulan itu, operasi sekatan jalan raya dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi mengesan Jamal.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .