Showing posts with label UTAMA. Show all posts
Showing posts with label UTAMA. Show all posts

Tuesday, May 29, 2018

KWSP suri rumah tidak babitkan caruman tambahan - TPM

Johari Seman     1:54:00 PM    
HULU SELANGOR 29 Mei - Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah melibatkan dua peratus daripada gaji suami tidak akan membabitkan caruman tambahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebaliknya caruman yang dicadangkan sebelum ini iaitu dua peratus yang akan dipotong daripada 11 peratus caruman KWSP suami.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan akan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan KWSP pada pukul 3 petang, Khamis ini.

“Kita tak ambil tambahan, kita hanya ambil daripada 11 peratus itu sahaja. Pemotongan itu sebagai penghargaan kepada isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Turun Padang ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.

Sunday, May 27, 2018

KWSP: Jangan abaikan suri rumah lelaki

Johari Seman     4:34:00 PM    
KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan perlu prihatin terhadap nasib lelaki yang tidak bekerjaya dan menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah dengan memberi sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti mana yang diperoleh suri rumah wanita.

Selain itu, langkah penolakan dua peratus daripada gaji isteri untuk dicarumkan dalam KWSP atas nama suami juga perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan nasib kaum lelaki yang menjadi suri rumah dibela.


Mengulas lanjut, pakar percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, inisiatif itu perlu diambil bagi memastikan golongan lelaki yang menjadi suri rumah mempunyai simpanan untuk digunakan sekiranya telah mencapai usia 60 tahun nanti.

“Kita perlu tahu suri rumah ini bukan sahaja terhad kepada wanita namun ada lelaki yang terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut atas alasan tersendiri dan golongan ini tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.

“Sudah tentu penolakan gaji isteri yang ingin dilakukan ini perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu. Kerajaan juga perlu melihat kepada pendapatan isi rumah keluarga berkenaan bagi memastikan niat baik untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan de­ngan telus dan menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Barjoyai, kerajaan perlu memfokuskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) untuk melaksanakan skim KWSP tersebut kerana faktor purata simpanan mereka yang rendah setiap tahun.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari ­Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemberian sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam KWSP kaum lelaki yang menjadi suri rumah dapat membantu golongan tersebut untuk merancang simpanan mereka dengan lebih terurus.

Katanya, selain daripada simpanan jangka masa panjang, sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada kaum lelaki yang menjadi suri rumah untuk mencari kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih besar.

“Inisiatif kerajaan ini ibarat ‘serampang dua mata’. Selain membantu golongan suri rumah dari segi simpanan jangka masa panjang, secara tidak langsung pencarum akan menjadi lebih bersemangat untuk mencari peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi bagi memastikan simpanan KWSP mereka menjadi lebih banyak nanti,” katanya.


Jamal Tidak Lari, Keluar Duit Tabung Haji

Johari Seman     1:08:00 PM    
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang dicari polis sejak kelmarin, akhirnya muncul dan menghubungi pasukan peguamnya untuk menyelesaikan proses ikat jamin yang tergendala.

Peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin, dalam satu kenyataan awal pagi tadi, berkata Jamal sudah menghubunginya dan memaklumkan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses berkenaan.

"Beliau menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses 'discharged' (keluar wad) untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.

"Pada ketika itu beliau (Jamal) percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna," katanya.

Mohd Imran berkata, Jamal juga memaklumkan beliau belum sihat, bukannya melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.

"Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah beliau benar-benar sihat.

"Kita percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau tersebut telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif," katanya.

Sementara itu, Jamal menerusi satu rakaman audio yang diedarkan kepada pihak media, mendakwa dia menyangka tempoh tahanan reman dan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya kelmarin sudah selesai.

"Kira-kira jam 3.15 petang, saya beredar dari hospital dan pergi ke Tabung Haji untuk mengeluarkan duit untuk digunakan bagi kos-kos seperti reman dan sebagainya.

"Saya terpaksa bergegas kerana mengejar masa, takut-takut waktu pejabat Tabung Haji tutup dan selepas berjaya mengeluarkan duit, saya mendapat panggilan mengatakan saya diburu polis.

"Tetapi ketika itu dalam keadaan saya kurang sihat, lebih baik saya berehat dahulu dan InsyaAllah saya akan tetap akan memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Kelmarin, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak jam 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Susulan itu, operasi sekatan jalan raya dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi mengesan Jamal.

Friday, May 25, 2018

Jamal didakwa di Hospital Ampang Puteri

Johari Seman     3:28:00 PM    
AMPANG: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengalami sakit belakang terpaksa didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin yang diiringi jurubahasa mahkamah dan pegawai penyiasat, tiba di wad premium hospital itu untuk membacakan tuduhan terhadap Jamal, 48, pada jam 10.45 pagi.

Media tidak dibenarkan masuk ketika prosiding selama setengah jam itu, malah pintu masuk ke wad berkenaan turut dikawal pengawal keselamatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak dengan menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar keluar pos 1, Bangunan SUK Shah Alam, jam 10.15 pagi, pada 5 Oktober 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum denda maksimum RM400.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Jamal.

Bagaimanapun, peguam Mohd Nasir Yusof yang mewakili Jamal memohon jaminan RM2,000 dibenarkan terhadap anak guamnya.

Ketika ditemui media, Megat Mahathir memberitahu Jamal mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamian dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kertas siasatan 1MDB tak pernah ditutup – IGP

Johari Seman     2:22:00 PM    
KUALA LUMPUR, 25 Mei: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan siasatan kes berkenaan masih berjalan sehingga kini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata PDRM akan bekerjasama dengan kesemua pihak termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung 1MDB.

“Oleh yang demikian, PDRM telah buka semula kertas siasatan 1MDB dan kami akan menyiasat menggunakan tiga akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Syarikat dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya pada sidang akhbar majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang meminta PDRM memulangkan wang UMNO yang dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamad Fuzi berkata ia perlu dituntut mengikut proses dan peruntukan undang-undang.

“Siasatan masih berjalan dan kami memerlukan masa bagaimana kaedah permohonan ini (menuntut wang) perlu ambil tindakan serta mengikut saluran,” katanya.

Ditanya sekiranya PDRM akan memanggil bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk diambil keterangan berhubung siasatan 1MDB, Mohamad Fuzi berkata setakat ini tiada sebarang tindakan diambil dan polis akan meneliti perkara itu kemudian.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Turut disiasat SRC International, anak syarikat 1MDB yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyerahkan sebanyak 3,768 bungkusan kuih raya sempena Hari Raya Aidilfitri kepada warga PDRM di Bukit Aman.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Polis sahkan RM114 juta wang tunai ditemui dalam 35 beg

Johari Seman     12:55:00 PM    
KUALA LUMPUR, 25 Mei — Polis mengesahkan RM114 juta wang tunai ditemui dalam 35 buah beg yang dirampas dari beberapa unit kediaman berkaitan Datuk Seri Najib Razak.

Sementara 37 beg lagi, berhubung siasatan terhadap bekas perdana menteri itu, mengandungi hanya jam dan barangan kemas, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman hari ini.

Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh juga menjelaskan foto-foto mengenai barang-barang kes itu seperti yang menular berkaitan rampasan itu tidak benar.

Tambahnya, anggota polis yang membuat rampasan Jumaat lalu tidak dibenarkan membawa telefon dan hanya jurugambar bertauliah dibenar mengambil gambar barang rampasan.

Beliau juga mengesahkan kebanyakan beg tangan, dalam 284 kotak yang diambil itu, berjenama mewah Hermes.

Wednesday, May 23, 2018

Najib dilihat keluar rumah, destinasi tidak pasti

Johari Seman     12:55:00 PM    
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Datuk Seri Najib Razak meninggalkan kediamannya dalam konvoi tiga kenderaan, termasuk Toyota Vellfire putih miliknya.

Namun perjalanan dari Jalan Langgak Duta di sini, dengan diiring polis, tidak dapat dipastikan destinasinya.

Kenderaan serba guna Toyota itu yang kelihatan meninggalkan perkarangan rumahnya sekitar jam 9.50 pagi ini menimbulkan minat petugas media di situ.

Najib semalam menghabiskan masa lima jam di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dijangka memberi keterangan sekali lagi esok berhubung dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, yang didakwa masuk ke akaunnya.

Siti Kasim edar coklat pada polis Sabtu ini

Johari Seman     12:53:00 PM    
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Satu kempen memberi coklat kepada anggota polis sebagai tanda penghargaan akan diadakan pada Sabtu ini, kata Siti Kasim.

Peguam dan aktivis berkata anggota keselamatan jarang diberi penghargaan, maka ‘Jom Bagi Coklat Kat Abang & Akak Polis’ diadakan pada pukul empat hingga lima petang.

Siti, atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim idea kempen dibuat susulan laporan baru-baru ini anggota polis didakwa mengambil coklat ketika membuat serbuan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Star Online.

“Saya fikir mereka kadang-kadang diperlakukan tidak adil kerana beberapa salah laku segelintir polis tetapi majoriti mereka adalah orang yang sangat baik. Saya agak terkejut mengenai keadaan itu. Saya fikir ramai orang berpandangan yang sama mengenai bagaimana mereka dilayan,” katanya.

Beliau mengajak orang ramai memberi coklat di balai polis berdekatan dan memuat naik foto serta video di media sosial dengan tanda pagar #chocs4cops.

“Saya rasa sudah tiba masanya melakukan sesuatu. Ini hanya isyarat. Kami hanya ingin menunjukkan penghargaan kami terhadap tugas yang telah mereka lakukan. Mereka tidak pernah mendapat penghargaan,” katanya yang akan mengedarkan coklat di balai polis Sentul.

SPRM serbu, pemimpin Umno disiasat kes Tabung Haji

Johari Seman     12:50:00 PM    
KUALA LUMPUR, 23 Mei—Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat serbuan serentak di tiga lokasi berbeza yang melibatkan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, semalam.

Menurut sumber SPRM, serbuan yang bermula 12.30 tengah hari itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung lantikan kontraktor melibatkan projek seliaan Tabung Haji.

“Serbuan dilakukan di kediaman beliau di Subang, Selangor dan Baling, Kedah. Selain itu, SPRM turut membuat pemeriksaan di salah sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kata sumber itu lagi, SPRM turut menyita sejumlah wang tunai di salah satu lokasi pemeriksaan.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan.—Bernama

Hormati hak individu yang disiasat - Majlis Peguam

Johari Seman     4:27:00 AM    
MAJLIS Peguam meminta semua pihak menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak mengganggu proses yang sedang dijalankan oleh polis.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, setiap individu yang disiasat mempunyai hak untuk melindungi diri tanpa mengira status, pangkat ataupun sentimen masyarakat.

Katanya, situasi ketika ini amat membimbangkan memandangkan banyak maklumat boleh diperoleh dengan mudah berkaitan kebocoran video, gambar dan butiran lain.

"Walaupun kerajaan dulu melakukan kesilapan, individu yang disiasat perlu dihormati haknya kerana ini kes berprofil tinggi dan bukannya menjatuhkan hukuman dengan sewenang-wenangnya.

"Hak ini diberikan kepada semua orang tanpa mengira apa yang dikatakan atau dianggap sebagai salah laku atau status sosialnya.

"Justeru agensi penguat kuasa undang-undang yang menjalankan penyiasatan perlu memastikan kerajaan kini menghormati undang-undang dan pantau dengan tegas," katanya.

George berkata, agensi penguat kuasa juga tidak seharusnya menyekat kebebasan individu kerana ia melanggar proses undang-undang yang wajar.

"Hanya pihak mahkamah boleh mengeluarkan perintah dan berdasarkan bukti prima facie yang mencukupi saja sekatan itu wajar atau tidak.

"Perintah sewenang-wenangnya yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sendiri tanpa pengawasan kehakiman adalah pelanggaran hak perlembagaan individu berkaitan dan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang," katanya.

Katanya, agensi penguat kuasa undang-undang juga mesti mendapatkan persetujuan mahkamah untuk menghalang orang daripada meninggalkan negara yang terkandung dalam Kanun Tatacara Jenayah.

"Prosedur ini mesti diikuti. Kebocoran maklumat akan menjejaskan siasatan dan mungkin menjejaskan percubaan untuk membawa pelaku yang didakwa melakukan kesalahan jenayah ke muka pengadilan," katanya.-Harian Metro

Bos SPRM akui diugut, terima peluru ketika mahu tuduh Najib

Johari Seman     2:47:00 AM    
PETALING JAYA, 22 Mei — Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengakui berdepan pelbagai ugutan, tekanan dan gangguan sewaktu menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata beliau diugut untuk dipecat sewaktu menyiasat kes RM42 juta wang SRC international, anak syarikat 1MDB.

Bercakap dalam sidang media di pejabat SPRM Putrajaya, beliau berkata ugutan itu berlaku sewaktu SPRM membuka kes fail siasatan kes itu terhadap Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2015.

“Saya diugut untuk dipecat, diminta bersara awal atau berhenti awal, diugut dan dipindah ke bahagian latihan,” katanya, yang disiar secara langsung.


“Tetapi beliau [Tan Sri Abu Kassim Mohamed, ketua pesuruhjaya SPRM waktu itu] beri sokongan di belakang dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga berdepan kemungkinan ditangkap atau dipenjara selepas pertemuan dengan peguam negara ketika itu Tan Sri Abdi Gani Patail yang sedang bersiap untuk mengheret Najib ke mahkamah.-Malay Mail

Katanya, ancaman itu berkaitan dakwaan “berkonspirasi menjatuhkan kerajaan” susulan pertemuan di pejabat Abdul Gani pada 26 Julai, sehari sebelum dipecat atas alasan kesihatan.

“Saya ini pejuang [menentang] rasuah, bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Apa kuasa saya untuk menjatuhkan kerajaan? Saya juga mendapat maklumat lain bahawa saya akan ditangkap,” katanya.

Mohd Shukri juga berkata beliau menerima peluru yang dihantar ke rumahnya tetapi hal itu tidak dimaklumkan kepada pegawai bawahannya dan keluarganya kerana bimbang mereka ketakutan.

Ditanya individu yang mengugutnya, beliau berkata: “Kami tahu individu itu, tetapi kami tidak boleh kaitkan secara langsung dia dengan orang itu dan ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ugutan tersebut datang daripada Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut menerima ugutan melalui mesej WhatsApp daripada pihak tertentu yang menyatakan akan ada individu tertentu akan bertemu dengannnya.

Selain itu, katanya, ugutan lain melalui WhatsApp turut diterima, yang dikirimkan kepada ketuanya.

“Tetapi kami tidak berundur, kami tetap mara ke hadapan untuk melengkapkan siasatan,” katanya, yang tidak membuat laporan polis ekoran ugutan itu.

KJ diamanah rangka struktur semula parti

Johari Seman     1:29:00 AM    
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO memberi mandat kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk merangka cadangan bagi menstruktur semula parti.

Penugasan kepada Khairy itu dimaklumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Presiden UMNO pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Sementara itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN, berkata beliau diberi tempoh yang singkat untuk melaksanakan tanggungjawab cukup mencabar itu.

"Saya diberikan tugas oleh Datuk Seri Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi (UMNO) tadi (semalam) untuk melaksanakan cadangan bagi penstrukturan BN dan UMNO.

"Dalam tempoh sebulan ini, kita akan bentangkan beberapa opsyen kepada BN dan UMNO. Dari segi ideologi, dari segi struktur, dari segi gerak kerja," katanya yang turut sama pada sidang media itu.

Bagi melancarkan tugas penstrukturan itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berjanji semua pihak terutama rakan komponen BN dilibatkan secara langsung.

"Kami akan menjadi inklusif bagi mendapatkan pandangan daripada (komponen) BN untuk merangka cadangan," katanya.

Tuesday, May 22, 2018

Raja Perlis Akan Memutuskan Siapa Layak Dilantik Jawatan MB

Johari Seman     10:05:00 PM    
KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan memutuskan siapa individu yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Perlis.





Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan baginda di Istana Arau, pagi tadi.



"Kami sudah mengadap Raja Perlis dan tuanku akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan yang sudah dilakukan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di sini.

Turut sama beliau dalam pertemuan dengan Raja Perlis siang tadi adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Pagi tadi, kedua-duanya tiba bersama di Istana Arau menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu pada Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.-Sumber Asal Dari Berita Harian

Dalic umum skuad Croatia

Johari Seman     12:49:00 AM    
ZAGREB: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menyenaraikan 24 pemain untuk skuad Piala Dunia, sebelum menyingkirkan seorang pemain dalam pasukan diterajui bintang antarabangsa Luka Modric, Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic.

Croatia muncul buat kali kelima di Piala Dunia dan diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama bekas juara dua kali Argentina, Nigeria dan Iceland.

"Saya tidak berdepan banyak delima... saya sepenuhnya yakin dengan pemain," kata Dalic. "Salah seorang penjaga gol akan digugurkan daripada senarai."

Selepas berkumpul di Zagreb minggu ini, skuad dijadual berlepas untuk menjalani latihan persediaan di bandar Adriatic di Rovinj.

Croatia dijadual bertemu Brazil dalam perlawanan persabahatan pada 3 Jun di Anfield dan berdepan Senegal, lima hari kemudian di Osijek sebelum berlepas ke Russia.

"Saya mahu perlawanan yang besar untuk melihat situasi kami, bagi membetulkan beberapa perkara. Dua perlawanan ini akan memberi gambaran sebenar pasukan," kata pengendali berusia 51 tahun itu.

Menurutnya, perlawanan menentang Brazil akan menjadi medan ujian terhadap pemain untuk berdepan Argentina.

Skuad Piala Dunia akan dikurangkan kepada 23 pemain pada 4 Jun nanti. - AFP

Skuad Croatia:

Penjaga gol (3): Danijel Subasic (Monaco/FRA), Lovre Kalinic (Gent/BEL), Dominik Livakovic (Dinamo Zagreb)

Pertahanan (9): Vedran Corluka (Lokomotiv Moscow/RUS), Domagoj Vida (Besiktas/TUR), Ivan Strinic (Sampdoria/ITA), Dejan Lovren (Liverpool/ENG), Sime Vrsaljko (Atletico Madrid/ESP), Josip Pivaric (Dinamo Kiev/UKR), Tin Jedvaj (Bayer Leverkusen/GER), Matej Mitrovic (Club Brugge/BEL), Duje Caleta-Car (Salzburg/AUT)

Tengah (6): Luka Modric (Real Madrid/ESP), Ivan Rakitic (Barcelona/ESP), Mateo Kovacic (Real Madrid/ESP), Milan Badelj (Fiorentina/ITA), Marcelo Brozovic (Inter Milan/ITA), Filip Bradaric (Rijeka)

Penyerang (6): Mario Mandzukic (Juventus/ITA), Ivan Perisic (Inter Milan/ITA), Nikola Kalinic (AC Milan/ITA), Andrej Kramaric (Hoffenheim/GER), Marko Pjaca (Schalke/GER), Ante Rebic (Eintracht/GER)

Pemandu lori lari sekatan jalan raya dipenjara 5 tahun

Johari Seman     12:46:00 AM    
KAJANG, 21 Mei: Seorang pemandu lori yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis dari Kajang ke Subang Jaya dan melanggar beberapa buah kenderaan dua minggu lepas, sehingga video insiden itu tular di laman sosial, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu ke atas Nik Muhamad Khairul Azhar Nik Azmi, 28, selepas tertuduh yang berbaju T hijau muda dan memakai penyangga leher mengaku bersalah atas empat pertuduhan iaitu memandu lori secara berbahaya, melakukan cubaan bunuh dengan cuba melanggar anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan melakukan perbuatan khianat.

Selepas kesemua pertuduhan dibacakan, Nik Muhamad Khairul Azhar yang kelihatan bersahaja di kandang tertuduh menjawab “saya mengaku salah puan” sambil tersenyum ke arah tertuduh lain di sebelahnya sehingga Majistret Nor Afidah bertanyakan kepada peguam Nor Asyikin Zakaria yang mewakili tertuduh adakah anak guamnya itu sihat mental dan fizikalnya.

Peguam itu kemudiannya memaklumkan anak guamnya sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Bagi pertuduhan memandu lori secara berbahaya, Nik Muhamad Khairul Azhar dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan sekiranya dia memiliki lesen memandu, lesennya digantung selama tiga tahun bermula hari ini dan jika tertuduh tidak memiliki lesen memandu, dia hilang kelayakan untuk memiliki lesen tersebut, juga bermula hari ini.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh, penjara setahun bagi pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas dan penjara dua tahun bagi pertuduhan melakukan khianat, menjadikan jumlah hukuman penjara bagi empat pertuduhan adalah 10 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei lepas.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menjalankan sekatan jalan raya di Kajang dan mengarahkan lori yang dipandu tertuduh berhenti kerana membawa muatan melebihi had namun tertuduh memecut untuk lari dari lokasi sekatan.

Anggota polis yang menaiki motosikal kemudian cuba memintas lori tersebut namun lori itu menghimpit dan cuba melanggar anggota polis dan melanggar beberapa kenderaan lain.

Tertuduh terus memandu sehingga memasuki Subang Jaya, melanggar beberapa kenderaan lain sehingga anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori yang kemudian terbabas merempuh pencawang elektrik sebelum tertuduh berjaya ditahan.

Ketika rayuan, peguam Nor Asyikin memberitahu mahkamah tertuduh yang berkahwin dan mempunyai tiga anak kecil telah insaf dan memohon maaf kepada semua pihak terlibat dan merayu hukuman ringan serta berjanji tidak mengulangi kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira tindakan dilakukan tertuduh adalah tindakan berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga orang awam selain bagi memberi pengajaran kepada semua masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.— Bernama

Justo kunjungi Dr Mahathir buat kali kedua

Johari Seman     12:44:00 AM    
PUTRAJAYA, 21 Mei: Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo, sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, hari ini.

Justo, yang berpakaian sut, mengadakan pertemuan kira-kira 75 minit dengan Dr Mahathir.

Kereta Mercedes-Benz berwarna perak yang dinaiki Justo kelihatan beredar keluar dari bangunan YKP pada 2 petang.

Semalam, Justo, 49, mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir lebih sejam di kediaman peribadi beliau di Serdang dekat sini.

Menerusi akaun Facebook rasminya, Justo memuat naik gambarnya bersama-sama Dr Mahathir dengan kapsyen: “What a great privilege and what an incredible moment” (Sesungguhnya ini suatu peluang yang amat istimewa dan momen yang amat luar biasa).

Justo dipenjarakan tiga tahun di Bangkok selepas ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui, selatan Thailand pada 22 Jun 2015 susulan pegawai PetroSaudi membuat aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat itu.

Pada Disember 2016, Justo yang merupakan antara 150,000 banduan Thailand dan warga asing, diberikan pengampunan oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Selain Justo, Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, hari ini.

Kamala tiba di YKP pada 2.30 petang dengan kenderaan rasmi kedutaan itu.

Sebelum itu, Duta Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana turut mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di YKP.

Sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei lepas, Dr Mahathir, 92, menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negara luar seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, mengetuai gabungan empat parti untuk mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Lagi pegawai tertinggi kerajaan beri taklimat kepada CEP

Johari Seman     12:41:00 AM    
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Beberapa orang lagi pegawai tertinggi kerajaan dan pertubuhan utama hari ini mengadakan mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan mengenai hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (Pelaburan) Datuk Asri Hamidon dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Komersil), Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan Datin Rashidah Mohd Sies.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Seri Sabin Samitah juga memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Turut memberi taklimat ialah Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

Pada 12 Mei, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan memenuhi 100 janjinya kepada rakyat.

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan ialah bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis penasihat kerajaan juga mempunyai dua jawatankuasa di bawah bidang kuasanya iaitu Jawatankuasa Pembaharuan Intitusi dan jawatankuasa yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).– Bernama

“Cara Dr Mahathir adalah – anda mesti berani menasihat” – Ali Hamsa

Johari Seman     12:34:00 AM    
PUTRAJAYA, 21 Mei: Hala tuju dasar di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat jelas, di mana perkhidmatan awam perlu mematuhi sepenuhnya kedaulatan undang-undang dan menegakkan urus tadbir tanpa takut atau pilih kasih.

Menyatakan demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan awam telah juga mengikrarkan sokongan tanpa syarat kepada kerajaan dan menegakkan segala prinsip pentadbirannya, lapor Bernama.

Beliau bercakap kepada Bernama ketika diminta mengulas ingatan Dr Mahathir agar petugas pentadbiran memainkan peranan penting sebagai orang yang telah berikrar untuk berkhidmat kepada negara tanpa takut atau pilih kasih.

Dalam pertemuan rasmi pertamanya dengan petugas awam hari ini, Dr Mahathir berkata jika pentadbir diberitahu supaya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab mereka agar tidak mengikuti arahan itu.

“Kita dapati, dalam beberapa tahun lalu, pentadbir tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menentang arahan yang bersalahan dengan undang-undang,” kata perdana menteri.

Pertemuan rasmi hari ini adalah yang pertama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 11 Mei, berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Zainal Rahim Seman berpendapat teguran Dr Mahathir itu amat tepat dan perlu ditunaikan oleh semua penjawat awam berasaskan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam memacu pembangunan negara.

Beliau berkata penjawat awam perlu memulakan tindakan baharu dengan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan mereka bersikap integriti dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Penjelasan Tun Dr Mahathir harus diterapkan dalam sanubari untuk meyakinkan penjawat awam dalam memacu pembangunan dan melaksanakan tugas-tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Seorang penjawat awam khususnya pegawai kanan perlu ada keupayaan untuk memberikan nasihat yang betul apabila berlaku sesuatu perkara melibatkan konflik kepentingan agar tugas-tugasan boleh dijalankan dengan amanah.

“Kalau perkara itu betul, katakan ya dan kalau perkara itu salah, perlu berani katakan tidak dalam melaksanakan tugasan. Jangan hanya ikut macam dahulu.

“Cara Dr Mahathir adalah – anda mesti berani menasihat dan berani nyatakan sama ada ia benar atau salah. Saya kira ini betul dan amalan yang cukup baik. Saya cukup gembira,” katanya.-

Tukar Pemimpin Tidak Berkesan Jika Perangai Lama Masih Kekal

Johari Seman     12:23:00 AM    
Desakan agar jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini semakin kuat kedengaran.
Pemimpin sedia ada yang merasakan dirinya masih diterima pasti tercabar sedangkan akar umbi mahu perubahan selepas kegagalan Barisan Nasional mempertahan kuasa sebagai parti politik paling berkuasa negara ini.

Desakan supaya jawatan tertinggi dipertandingkan bukan sahaja khusus kepada pemimpin UMNO di peringkat Nasional, negeri juga turut terkesan.
Mempercayai akan mendapat sokongan selepas meremajakan UMNO dengan memilih pemimpin baharu di peringkat nasional dan negeri antara asas kepada desakan itu.

Satu pekara perlu diambil tahu oleh semua peringkat, kirany perubahan kepimpinan berlaku disemua peringkat ia tidak berguna jika perangai lama masih kekal. Paling utama perlu diubah adalah perangai pemalas kepada rajin bekerja.

Ambil contoh pemuda UMNO Selangor, apa kerja buat mereka selama 5 tahun sebelum PRU-14 tiba?.

Puteri UMNO juga dilihat terlalu lemah, apa yang popular dikalangan mereka hanya berselfi dan tidak hairanlah jika melihat Facbook dikalangan puteri penuh dengan gambar-gambar selfi sahaja manakala program tidaklah alah mana.

Bagi wanita UMNO mereka sentiasa bekerja keras, tanpa wanita UMNO sebenarnya sudah lama pupus.

Tuesday, April 24, 2018

Patut Sokong Calon Batu Tiga Ahmad Mua' Adzam Shah Yaakop

Johari Seman     11:58:00 PM    

Mengenali Calon Batu Tiga tidak sesukar di jangka, tidak seperti cakap-cakap sebahagian orang dalam Shah Alam.

Orangnya mahu mendengar pandangan dan nasihat orang lain, tidak sombong dan selalu merendah diri.

Menghormati orang yang lebih berusia darinya adalah amalan beliau yang diketahui umum
Rajin bekerja demi kelangsungan parti dan membantu mereka yang memerlukan adalah rutin harian .

Mudah mesra dengan sesiapa sahaja, menghormati rakan taulan juga antara sifat yang disenangi ramai.

Pengundi Batu Tiga patut melihat beliau sebagai pemimpin berwibawa untuk  diberi peluang agar beliau terus menabur bakti.


© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .