Tuesday, March 20, 2018

Itu memang saya - Guan Eng

Musang Maya (Nur Shila)     11:18:00 AM    

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat enggan menjawab persoalan berbangkit mengenai beberapa gambarnya bersama ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan viral di laman sosial, baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP itu pada sidang medianya di sini, hari ini sebaliknya menyebarkan beberapa gambar Menteri Kabinet bersama isteri kepada ahli perniagaan terbabit, dipercayai sebagai tindakan balas selepas gambarnya disebar dan dipersoalkan sesetengah pihak.

Guan Eng berkata, mengapa gambarnya bersama ahli perniagaan terbabit perlu dipersoalkan, selain menyifatkan tindakan itu sebagai usaha untuk menjatuhkan martabatnya apabila cuba mengaitkannya mereka sebagai rakan rapat.

"Saya akui ada ambil beberapa gambar bersama ahli perniagaan terbabit, termasuk di dalam sebuah kereta, bagaimanapun saya tak mengenali individu itu secara rapat. Saya juga mungkin ada ambil lebih banyak gambar bersama beliau dan keluarganya.

"Bagaimanapun, ia adalah biasa bagi seseorang dengan jawatan seperti saya untuk mengambil gambar dengan pelbagai individu. Justeru, apa yang perlu dipersoalkan mengenai gambar saya dengan ahli perniagaan terbabit, mahu pun isterinya?" katanya.

Terdahulu, Guan Eng menyebarkan gambar Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersama isteri ahli perniagaan terbabit.

Kontroversi mengenai ahli perniagaan terbabit muncul apabila dia dikatakan menerima RM19 juta daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) sebagai suapan untuk menutup siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut yang dianggar bernilai RM6.3 bilion.

Berikutan itu, SPRM membekukan empat akaun berjumlah RM3.6 juta dipercayai milik ahli perniagaan terbabit, selain menyita empat kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Range Rover dan Hyundai Starex yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta serta tiga televisyen bernilai RM167,900.

Difahamkan, turut disita ialah sebuah rumah bernilai kira-kira RM2.5 juta yang terletak di Petaling Jaya.

Pada masa sama, Guan Eng mempersoalkan pihak terbabit yang menyebarkan gambarnya bersama ahli perniagaan berkenaan dan isterinya secara meluas di laman sosial dan media arus perdana.

"Saya musykil siapa yang sebarkan gambar ini (Guan Eng bersama ahli perniagaan terbabit) sedangkan saya sendiri tidak mempunyai salinannya," katanya.

Related Posts

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. Bloggertheme9. BEBAS DAN DIYAKINI .