Wednesday, June 1, 2016

Dilarang Jual Arak Kepada Umur Bawah 21 Tahun

Johari Seman     5:29:00 PM    

PUTRAJAYA - Berkuatkuasa 1 Disember 2017, penjualan minuman beralkohol adalah dilarang kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata penguatkuasaan itu berikutan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang diwartakan pada 27 Mei lepas.


Katanya pindaan berkenaan adalah selaras dengan Strategi Global untuk Mengurangkan Bahaya Penggunaan Alkohol yang telah dimeterai oleh Menteri-Menteri Kesihatan pada World Health Assembly 2010 untuk mengurangkan kebolehdapatan minuman beralkohol di pasaran.

"Pindaan peraturan turut mewajibkan minuman beralkohol yang dijual dipamer di kabinet atau rak yang berasingan daripada kabinet atau rak makanan lain dan meletakkan label 'Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan' pada semua produk minuman beralkohol," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan itu turut melibatkan peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol yang sedia ada dan mewujudkan peraturan baharu 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (CHL).

Subramaniam berkata kegagalan mematuhi mana-mana peraturan berkaitan minuman beralkohol merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Mengulas lanjut berhubung peraturan baharu 386A, Subramaniam menjelaskan ia bertujuan mengawal kebolehdapatan CHL yang yang dihasilkan daripada campuran dua atau lebih minuman beralkohol dan kini boleh dibeli dengan mudah di kedai ubat, kedai runcit, kedai kopi pada harga serendah RM5.

"CHL merupakan satu isu sosial yang besar dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah. Oleh itu peraturan baharu ini menetapkan bahawa produk CHL hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minimum 700 ml," katanya.

Kata Subramaniam, kegagalan mematuhi peraturan 386A mengenai CHL merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Katanya, Kementerian Kesihatan sudah berbincang dengan wakil pihak industri berhubung pindaan peraturan berkenaan. - Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .