Miri : Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negeri ini sebagai komitmen menyediakan perkhidmatan lebih bermutu kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hasrat itu selaras matlamat kerajaan mahu memastikan capaian rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dengan pendekatan bersifat komprehensif dan menyeluruh.
Beliau berkata, ia menunjukkan keberkesanan kaedah itu dalam meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kerajaan yang menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Penubuhan UTC sebahagian daripada amalan inovasi dan kreativiti ke arah mewujudkan pembaharuan dalam sektor awam bagi meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.
“Melalui UTC, kita menempatkan semua agensi dan jabatan berkaitan yang tentunya menjimatkan kos serta masa orang ramai berurusan dengan kerajaan, selain mendapatkan perkhidmatan dalam suasana mesra rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan UTC Miri di Kompleks Letak Kereta Bertingkat Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini, semalam.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib berkata, UTC Miri adalah kemudahan ke-12 disediakan di seluruh negara dengan sepanjang tahun lalu saja, kira-kira 11.5 juta rakyat mendapat manfaat daripada penyediaan kemudahan itu.
“Bayangkan, dalam tempoh 10 hari beroperasi, 17,000 warga Miri menggunakan kemudahan disediakan di sini. Dalam kalangan negara maju sekali pun, belum tentu kemudahan sebegini dapat disediakan kerajaan mereka.
“Di UTC, agensi dan jabatan kerajaan beroperasi pada hujung minggu bagi memudahkan kehidupan rakyat. Di Malaysia saja kita berupaya menyediakan perkhidmatan sebegini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Limbang, Miri dan Kuching, malah ia kunjungan ke-49 beliau ke Sarawak sepanjang enam tahun mengambil alih tampuk pentadbiran negara.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:23 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127524#sthash.ZAJAUqQQ.dpuf
 

0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,