Saturday, November 28, 2015

Derita Seorang Insan Selepas Kemalangan

Johari Seman     6:51:00 PM    



KOTA TINGGI – Seorang bapa tiga anak tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas menderita kebas kaki dan tidak boleh bergerak akibat terlibat kemalangan awal tahun lalu.  
Mohd Azmi Kusnun, 33, berkata, dia terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang kerja.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan tulang kering kaki kirinya patah dan dia terpaksa menerima rawatan lanjut.
“Kesan rawatan dan pembedahan, kedua-dua belah kaki saya jadi kebas dan tak dapat bergerak. Sekarang ni saya hanya terbaring dan duduk saja.
“Pernah satu masa, saya tak sengaja, tercelup kaki kanan saya dalam air panas. Adalah dalam dua minit, selepas saya sedar saya cepat-cepat tarik keluar kaki. Habis kulit kaki saya melepuh," katanya.
Tambah Azmi, doktor juga tidak berani untuk mengesahkan dia lumpuh malah memberitahu dia mempunyai 30 peratus peluang untuk berjalan semula.
Bagaimanapun, akibat terlalu lama tidak bergerak bahagian belakang punggungnya mengalami luka besar.
"Bagi mengelakkan berlaku jangkitan, doktor terpaksa menebuk perut saya supaya boleh buang air besar dan kecil gunakan tiub," katanya.
Dia yang menyewa rumah di Pasir Gudang memberitahu dia akan berulang alik tiga kali seminggu ke rumah ibunya di Felda Semenchu untuk berikhtiar mendapatkan khidmat urutan daripada salah seorang penduduk di situ.
Dalam pada itu, ibunya Habsah Yusak, 60, berkata, Azmi merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Menurutnya, ibu mana yang tidak sedih melihat keadaan anaknya itu lebih-lebih lagi Azmi antara anak yang paling rapat dengannya.
“Kadang kala ketika tengah makan bila teringat sahaja keadaannya mak cik terus hilang selera. Nasi yang dijamah pun tak habis di pinggan. Keadaan juga berbeza jika sebelum ini adik beradiknya yang lain pulang, mereka akan sama-sama duduk di luar berkumpul, kini tidak lagi.
“Sebagai ibu, apa yang mak cik harapkan dia akan kembali pulih seperti sedia kala dan kami juga akan berikhtiar apa cara sekalipun. Malah kami pernah ke Indonesia semata-mata untuk berubat. Itulah pertama kali mak cik ke sana,” katanya.
Terdahulu, Azmi menerima lawatan daripada rombongan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, Persatuan Bekas Pelajar SMK Semenchu dan juga Kelab Kereta Harimau Selatan (KKHS) Cawangan Kota Tinggi.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .