Showing posts with label KEMALANGAN. Show all posts
Showing posts with label KEMALANGAN. Show all posts

Sunday, May 27, 2018

Maut motosikal rempuh pacuan empat roda

Johari Seman     1:18:00 PM    
KOTA MURUDU: Seorang kakitangan kerajaan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pekan Lama, Simpang Kampung Radu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Jamil Mijal, 58, yang menunggang motosikal seorang diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah pekan Kota Marudu menuju ke Pekan Lama.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang dengan laju oleh mangsa masuk ke lorong bertentangan sebelum merempuh sebuah Toyota Hilux.

"Impak pertembungan itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Wednesday, May 23, 2018

Maut tercampak di bahu jalan

Johari Seman     4:40:00 AM    
Klang: Seorang pekerja pelabuhan meninggal dunia dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggangnya bertembung kereta di Jalan Keretapi Lama, Kapar dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi, Amirul Mohamad Sharif, 25, meninggal dunia di lokasi akibat parah di dada.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong sebuah kenderaan.

“Ketika cuba memotong, mangsa yang menunggang Honda EX5 dari arah Kapar menghala ke Klang bertembung Perodua Myvi dari arah bertentangan.

“Akibatnya, mangsa tercampak ke cermin depan kereta itu sebelum terjatuh di bahu kiri jalan,” katanya.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk di bedah siasat,” katanya.-myMetro

Sunday, October 30, 2016

Sembilan Terperangkap Dekat Kejadian Tanah Runtuh Di Air Itam

Johari Seman     1:24:00 PM    
GEORGE TOWN: Sembilan terperangkap di dalam sebuah kuil dan sebuah kereta berhampiran kejadian tanah runtuh di Air Itam, di sini Sabtu, berikutan kejadian hujan lebat selama tiga jam di kawasan itu.

Kejadian berlaku pada 6.28 petang di antara jalan raya dan laluan ke arah Empangan Air Itam berdekatan sebuah kuil Buddha.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Bagan Jermal dikerahkan ke tempat kejadian dan keempat-empat mangsa yang terperangkap di dalam kereta berjaya diselamatkan oleh anggota bomba manakala mangsa yang lain enggan meninggalkan kuil.

"Pihak bomba menerima panggilan daripada seorang mangsa yang terperangkap dan memaklumkan kepada kami mengenai kejadian itu...akibat kesesakan lalu lintas, bomba tiba di tempat kejadian pada 7.46 malam," menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan, di sini Sabtu.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kawasan berkenaan selamat dan tidak berbahaya serta operasi menyelamat berakhir pada 8.09 malam. - BERNAMA

Friday, July 8, 2016

TOL AYER KEROH DIREMPUH SEORANG CEDERA

Johari Seman     10:32:00 PM    
MELAKA: Sebuah lori hilang kawalan dan melanggar Plaza Tol Ayer Keroh pada Jumaat hingga mencederakan seorang jurutol berusia 38 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, lori lapan tan yang dipandu Mohd Aziman Mat Ya'acob, 34, dari Kuala Lumpur melanggar dua plaza tol.

Pemandu terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengurus Plus Wilayah Selatan, Rozi Ibrahim berkata jurutol yang cedera itu dikenal pasti sebagai Nur Farazilah Yunus.

Beliau bagaimanapun berkata, Nur Farazilah hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kirinya.

"Nur Farazilah baharu sahaja melapor diri untuk bekerja pada pukul 6 pagi iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku," kata beliau sambil menambah bahawa plaza tol lain kosong pada masa itu.

Rozi memberitahu anggaran kerugian bagi kerosakan kedua-dua plaza tol tersebut adalah kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata polis sedang meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan telah ditahan.

SEORANG MAUT LIMA CEDERA AKIBAT KEMALANGAN

Johari Seman     12:38:00 PM    
SERI ISKANDAR: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas dua kereta bertembung di Kilometer 6, Jalan Bota Kanan-Kampung Gajah, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Aziz Hassan berkata Zamri Ismail, 57, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah rusuk kiri dan kanan serta paha kanan manakala isteri dan dua anak lelakinya cedera ringan.

Kemalangan pukul 1.30 tengah hari itu juga mengakibatkan seorang kanak-kanak berumur empat tahun, Mohhamad Syahmi Faris Zulazuwa, patah paha kiri manakala bapanya, Zulazuwa Zulkefli, 41, yang memandu Proton Persona, mengalami cedera ringan, katanya.

"Isteri dan dua lagi anak Zulazuwa tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata mayat Zamri dihantar ke Hospital Changkat Melintang manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.

Aziz berkata kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Zamri dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Bota Kanan, bertembung dengan Proton Persona dari arah bertentangan, semasa hendak memotong kenderaan di hadapannya.

Thursday, July 7, 2016

MAUT TERHUBANG KEDALAM TASIK

Johari Seman     5:22:00 PM    
IPOH: Seorang maut manakala enam yang lain cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah kereta lain di Grik dekat sini.

Kemalangan itu berlaku di KM45 jalan raya Timur-Barat kira-kira pukul 2.27 petang Rabu.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata sebuah kereta jenis Ford Ranger dari Kota Baru, yang dalam perjalanan ke Grik merempuh sebuah kereta Naza Ria yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, sebuah kereta Proton Wira tidak sempat menekan brek dan melanggar bahagian belakang Naza Ria, yang kemudian menghumbankan Ford Ranger terbabit ke dalam tasik sedalam 10 meter.

Katanya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, orang ramai sudah menarik keluar tiga orang yang berada dalam Ford Ranger itu.

"Pemandu pacuan empat roda maut di tempat kejadian, manakala salah seorang penumpang mengalami kecederaan serius," kata beliau sambil menambah penumpang lain terselamat.

"Daripada lima penumpang dalam Naza Ria, tiga cedera ringan, manakala dua yang lain selamat.

"Dua penumpang yang menaiki Wira Aeroback cedera ringan, dan dua yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Jurucakap itu berkata bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa, manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Monday, June 20, 2016

Patah Kaki Terjatuh Ketika Memacing

Johari Seman     9:18:00 PM    
KUCHING: Seorang lelaki warga Thailand dikhuatiri patah kaki kiri apabila terjatuh dari sebuah jeti di Jalan Pending di sini.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 28 tahun dan bekerja di sebuah kilang berhampiran sedang memancing bersama rakan-rakannya sekitar jam 3 petang.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dikatakan terjatuh dan rakan-rakannya terus menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuching dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu mengangkat mangsa.

“Mangsa ditemui dalam keadaan bernyawa namun patah kaki di bawah jeti berkenaan,” katanya.

Pasukan bomba seterusnya mengangkat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulans bagi dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.



Read more: http://www.theborneopost.com/2016/06/20/tragedi-memancing/#ixzz4C7pCJST8

Tuesday, May 17, 2016

Hampir Maut,Motor Rosak Dilangar

Johari Seman     1:27:00 PM    
SARIKEI: Gara-gara kecuaian seorang pemandu kereta yang keluar secara melulu dari satu persimpangan jalan ke jalan utama menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui berkata kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal dan dua kereta.

Kemalangan berlaku di Kilometer 2, Jalan Repok dekat sini, sekitar jam 7 pagi semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta Toyota itu tiba-tiba keluar dari simpang memasuki jalan utama menyebabkan penunggang gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian kanan kereta terbabit.

“Penunggang motosikal terbabit hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan,” kata Dominic dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu, mangsa terjatuh dan tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan di kepala.

Manakala kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Penunggang motosikal yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan namun pada jam 12 tengah hari mangsa dirujuk ke Hospital Sibu,” katanya.

Punca sebenar kes itu masih dalam siasatan.

-Utusan Borneo

Monday, December 7, 2015

Maut Jatuh Sungai Kerana Disergah

Johari Seman     4:56:00 PM    
Orang ramai dari Malaysia menunggu khabar berita dari pihak penyelamat


RANTAU PANJANG - Seorang lelaki warga tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Golok, berdekatan Pangkalan Haram Belakang Kubur, di sini, pada jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rahmat Kamaruzaman berkata, mangsa, Muhamad Khairul Awang Noh, 27, mangsa bersama seorang rakannya, Hafiz Jalil, 20, dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan dari Golok, Thailand.

"Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian tersebut.

"Kita gerakkan seramai 18 anggota penyelamat membabitkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rantau Panjang dan pasukan penyelamat di air," katanya.

Beliau memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula pada jam 9 pagi sehingga 6 petang dan tertumpu dalam kawasan lingkungan 1 kilometer bermula dari tempat mangsa terjatuh sehingga Jambatan Muhibah.
Orang Ramai Menanti Khabar Berita Dari Tebing Sungai Golok Sebelah Malaysia

Menceritakan kejadian, Hafiz berkata, dia dan Muhamad Khairul terkejut selepas disergah oleh pihak berkuasa Thailand pada ketika itu lalu berlari ke arah tebing Sungai Golok sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Selepas terjatuh ke dalam Sungai Golok, saya sempat berpaut pada perahu. Saya cuba selamatkan Muhamad Khairul dengan menolak perahu berkenaan, namun selepas tiga kali memanggil, dia tidak lagi timbul.

"Saya tak dapat tidur kerana masih terbayang wajah Muhamad Khairul ketika dia minta tolong, sebelum tenggelam dalam Sungai Golok," katanya, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Awang Noh Awang Chik, 61, memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan Muhamad Khairul adalah pada jam 3 petang kelmarin.

Katanya, ketika itu mangsa yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik sedang bersiap-siap untuk keluar.

"Biasanya saya akan tanya kalau nampak dia bersiap-siap nak keluar, tapi entah kenapa petang itu mulut saya jadi berat nak bertanya.

"Sebelum ini pun saya tak pernah risau sebab dia tak pernah keluar sehingga lewat malam. Saya hanya dapat tahu kejadian ini apabila dimaklumkan oleh rakannya pada jam 6 pagi tadi," katanya.

Menurut Awang Noh yang bekerja sebagai buruh, mangsa menjaganya di rumah sementara isterinya, Yati Ghani, 55, bersama enam lagi anak mereka berada di Kuala Lumpur.

Saturday, November 28, 2015

Derita Seorang Insan Selepas Kemalangan

Johari Seman     6:51:00 PM    


KOTA TINGGI – Seorang bapa tiga anak tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas menderita kebas kaki dan tidak boleh bergerak akibat terlibat kemalangan awal tahun lalu.  
Mohd Azmi Kusnun, 33, berkata, dia terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang kerja.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan tulang kering kaki kirinya patah dan dia terpaksa menerima rawatan lanjut.
“Kesan rawatan dan pembedahan, kedua-dua belah kaki saya jadi kebas dan tak dapat bergerak. Sekarang ni saya hanya terbaring dan duduk saja.
“Pernah satu masa, saya tak sengaja, tercelup kaki kanan saya dalam air panas. Adalah dalam dua minit, selepas saya sedar saya cepat-cepat tarik keluar kaki. Habis kulit kaki saya melepuh," katanya.
Tambah Azmi, doktor juga tidak berani untuk mengesahkan dia lumpuh malah memberitahu dia mempunyai 30 peratus peluang untuk berjalan semula.
Bagaimanapun, akibat terlalu lama tidak bergerak bahagian belakang punggungnya mengalami luka besar.
"Bagi mengelakkan berlaku jangkitan, doktor terpaksa menebuk perut saya supaya boleh buang air besar dan kecil gunakan tiub," katanya.
Dia yang menyewa rumah di Pasir Gudang memberitahu dia akan berulang alik tiga kali seminggu ke rumah ibunya di Felda Semenchu untuk berikhtiar mendapatkan khidmat urutan daripada salah seorang penduduk di situ.
Dalam pada itu, ibunya Habsah Yusak, 60, berkata, Azmi merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Menurutnya, ibu mana yang tidak sedih melihat keadaan anaknya itu lebih-lebih lagi Azmi antara anak yang paling rapat dengannya.
“Kadang kala ketika tengah makan bila teringat sahaja keadaannya mak cik terus hilang selera. Nasi yang dijamah pun tak habis di pinggan. Keadaan juga berbeza jika sebelum ini adik beradiknya yang lain pulang, mereka akan sama-sama duduk di luar berkumpul, kini tidak lagi.
“Sebagai ibu, apa yang mak cik harapkan dia akan kembali pulih seperti sedia kala dan kami juga akan berikhtiar apa cara sekalipun. Malah kami pernah ke Indonesia semata-mata untuk berubat. Itulah pertama kali mak cik ke sana,” katanya.
Terdahulu, Azmi menerima lawatan daripada rombongan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, Persatuan Bekas Pelajar SMK Semenchu dan juga Kelab Kereta Harimau Selatan (KKHS) Cawangan Kota Tinggi.

Dua Beradik Maut Dilanggar

Johari Seman     12:02:00 PM    


Kota Bharu: Perjalanan pulang dua beradik tiri menaiki motosikal berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kampung Hutan Buloh Melor, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 petang ketika Muhammad Ikhmal Hisyam Mat Zin, 13, yang menunggang motosikal dan adik tirinya, Muhammad Danieal Akmal Mohd Sakri, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Melor.

Bagaimanapun, motosikal Honda EX5 dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah bertentangan.

Akibatnya, kedua-dua mangsa tercampak di jalan dan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mereka parah di kepala kerana tidak memakai topi keledar,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen mahupun topi keledar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96369#sthash.xvt8jdrQ.dpuf

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .