KOTA BHARU - Tahun lalu bagaikan mimpi, Kelantan dilanda banjir besar dan menjadikan negeri ini bagaikan ‘padang jarak padang tekukur’ terutama di kawasan yang hampir 100 peratus ditenggelami air.
Dengan membawa sampah, pokok kayu, balak dan tidak kurang juga serpihan atap rumah, air limpahan hujan tersebut menjadi warna kuning dengan lumpur, menjadikan gelarannya ‘bah kuning’.
Bagaikan masih trauma dengan apa yang berlaku hujung tahun lalu, kebanyakan rakyat Kelantan yang tinggal di kawasan rendah dan berdepan banjir sudah mula membuat persiapan awal.
Persiapan itu termasuklah meletakkan barangan di tempat lebih tinggi, menyimpan stok makanan seperti beras secukupnya dan ada juga yang menyediakan kawasan khas untuk berlindung.
Jabatan Meteorologi juga turut mengeluarkan ramalan awal mengenai hujan lebat peringkat kuning yang dijangkakan berlaku bermula semalam hingga Sabtu ini. Ia dijangka sebagai permulaan dan memberi kesan kepada mereka yang sering berdepan masalah banjir.
Selaras dengan amaran yang dikeluarkan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut menyarankan seluruh rakyat Kelantan supaya mengadakan solat hajat dan munajat di semua masjid serta surau berhampiran kediaman masing-masing.
“Selain bersedia secara fizikal, kita jangan lupa berdoa kepada ALLAH SWT, memohon supaya dielakkan daripada berlakunya bah besar sebagaimana tahun lalu. Hanya ALLAH SWT yang berkuasa atas sesuatu ini,” katanya melalui satu kenyataan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah menyediakan pelbagai persediaan yang sepatutnya bagi memastikan keperluan makanan dan kebajikan mereka yang berdepan banjir terjaga jika kemungkinan bencana tersebut berulang lagi.
Pada masa sama, Jabatan Meteorologi juga menyatakan selain Kelantan, Terengganu dan Pahang juga tidak ketinggalan akan berdepan cuaca sama selama tiga hari tersebut.
Sememangnya, negeri pantai timur bagaikan sudah bersedia awal dengan tibanya musim tengkujuh pada akhir tahun ini.
Malah tahun lalu, gelombang pertama banjir bermula pada penghujung November dan berakhir selepas gelombang ketiga iaitu akhir Disember.
Menurut Pengarah Meteorologi Kelantan, Maqrum Fadzli Mohd Fahmi, kini kita berada dalam monsun Timur Laut yang mana hujan akan berlaku disebabkan pembentukan awan hujan yang dihasilkan oleh luruan angin sejuk dari benua China.
“Dalam tiga hari ini (Khamis hingga Sabtu), terdapat luruan angin sejuk lemah di Laut China Selatan dan keadaan hujan seperti amaran dinyatakan itu berlaku di negeri pantai timur semenanjung,” katanya.
Beliau juga berkata, apabila hujan berterusan berlaku, buatlah persediaan untuk berpindah terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berdepan kemungkinan banjir.
"Yang penting, masing-masing peka dengan keadaan semasa dan ikut nasihat dikeluarkan agensi dan sebagainya. Jangan 'termakan' dengan viral yang tidak diketahui kebenarannya,” katanya.
0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,