Sunday, May 27, 2018

'Tak perlu maklum kepada Shahidan'

Johari Seman     1:27:00 PM    

KANGAR: Bekas Senator Perlis, Ramli Sharif, membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar, bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, tidak dimaklumkan mengenai keputusan pucuk pimpinan yang bersetuju menerima cadangan lantikan semula Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Katanya, tindakan itu bukanlah satu keperluan yang mendesak sehingga pucuk pimpinan perlu memaklumkan kepada Shahidan setiap apa juga keputusan mereka.

"Saya rasa ia bukanlah satu keperluan atau satu tanggungjawab yang mesti untuk mereka berdua maklumkan apa setiap keputusan yang dibuat di peringkat pusat kepada Pengerusi BN negeri," katanya ketika ditemui di Hotel Putra Regency malam tadi.

Sebelum ini, Syed Atif mendakwa Ahmad Zahid dan Hishamuddin tidak memaklumkan Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis mengenai persetujuan mereka menerima cadangan lantikan semula Azlan sebagai menteri besar.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid dan Hishammuddin menyatakan persetujuan kepada cadangan melantik Azlan sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua ketika menghadap Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Selasa lalu.

Ramli berkata, Shahidan hanya perlu menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan berhubung perlantikan Menteri Besar negeri.

"Shahidan perlu sedar bahawa had dan fungsi tugasnya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, tugasnya hanya untuk menyelaras UMNO di peringkat bahagian dalam negeri.

"Sebarang keputusan yang dibuat di peringkat pusat, di peringkat negeri perlu akur, bukannya membuat sebarang keputusan sendiri. Apatah lagi sebelum ini beliau cuba memecat keahlian UMNO seseorang sedangkan jelas dalam perlembagaan UMNO, tindakan memecat ahli parti terletak pada Majlis Tertinggi UMNO," katanya.

Sehubungan itu, Ramli menyarankan Shahidan dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya kembali ke Perlis dan memohon maaf kepada pihak istana.

"Mohonlah ampun dan maaf kepada Tuanku Raja Perlis, dan kepada Menteri Besar sendiri berhubung tindakan mereka itu. Jika mereka tidak dapat terima juga keputusan ini, tiada pilihan lain melainkan mereka ini melepaskan jawatan sebagai ADUN," katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .