BANGKOK 16 Okt. - Putera Mahkota, Maha Vajiralongkorn meminta rakyat agar tidak bimbang selepas baginda mengumumkan hanya mahu menaiki takhta setahun lagi bagi menggantikan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat Khamis lalu.
Keputusan mengejutkan itu diumumkan Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha semalam atas alasan menghormati kemangkatan ayahandanya itu.
Berikutan itu, bekas Perdana Menteri, Jeneral Prem Tinsulanonda yang mengetuai Majlis Privi, sebuah badan penasihat monarki Thailand, dilantik sebagai pemangku raja.
“Putera Mahkota memanggil saya untuk memaklumkan supaya urusan pertabalan baginda ditangguhkan selama setahun bagi menghormati kemangkatan ayahandanya.
“Baginda turut meminta rakyat supaya tidak bimbang atau keliru berhubung keputusannya itu,” kata Prayut, semalam.
Perdana Menteri itu juga memberi jaminan urusan peralihan takhta negara ini akan berjalan lancar dengan Putera Vajiralongkorn kekal sebagai pewaris.
Pengesahan terbabit sekali gus menamatkan spekulasi yang menyatakan Puteri Maha Chakri Sirindhorn iaitu anak perempuan kedua kepada Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit lebih berhak ditabalkan sebagai pemerintah kerana disenangi rakyat jelata.
Kenyataan Prayut dibuat selepas menghadap Putera Vajiralongkorn dengan ditemani Presiden Majlis Privi, Jeneral Prem di Amphorn Satharn Villa, Dusit Palace semalam.
“Apa yang penting ialah Putera Vajiralongkorn mahu rakyat Thailand menggunakan tempoh setahun itu untuk mengenang memori berharga sepanjang 70 tahun pemerintahan Raja Bhumibol,” kata Prayut dalam satu siaran televisyen tempatan.
Jelas Prayut, seperti rakyat Thailand, putera raja itu juga masih bersedih dan masih dalam tempoh berkabung ketika ini.
“Oleh itu, Putera Mahkota berharap urusan pertabalan tersebut hanya akan dilakukan selepas semua adat pemakaman dan upacara keagamaan selesai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Biro Isi Rumah Diraja Thailand mengumumkan pembukaan Grand Palace kepada orang awam yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol di hadapan potret pemerintah itu dan menandatangani buku ucapan takziah.
Bagi menghormati tempoh berkabung yang ditetapkan, aktiviti hiburan malam di negara ini dihadkan dan sesetengah tempat melarang pengambilan minuman keras walaupun tidak ada larangan rasmi dikeluarkan setakat ini. – DPA/REUTERS/BERNAMA
0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,