KOTA BHARU - Perwakilan Pemuda Pas dari Kuala Selangor mempertikaikan tindakan pemimpinnya menemui bekas Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lantang mengkritik parti itu.
Namun, Bendaharinya, Mukhtar Suhaili menjelaskan pertemuan itu penting sebagai medan untuk perbincangan antara Pas dengan Syed Saddiq.
"Hasil pertemuan itu jelas beliau banyak tidak tahu tentang Pas.
"Beliau mendapat maklumat yang salah tapi ini bukan Syed Saddiq sahaja. Ramai lagi anak muda di luar sana," katanya ketika sesi menjawab dan menerima Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Berakhir Disember 2015 Muktamar Pemuda Pas, di sini, semalam.
30 Mac lalu, Mukhtar dan beberapa pemimpin termasuk Penolong Setiausaha I Pemuda Pas, Nurul Islam Mohammad Yusuf dan AJK Jabatan Penerangan, Mohd Shahir Abu Hassan bertemu dengan Syed Saddiq di pejabat sayap itu untuk berbincang dan merungkai salah faham.
Mengulas lanjut, Mukhtar yang juga AJK Pas Pusat berkata, meskipun Syed Saddiq cuba mengajak Pas menyertai Deklarasi Rakyat namun Pemuda menegaskan pendirian parti.
"Kita tegaskan Pemuda tak akan sokong turunkan Najib tapi masih kekalkan sistem yang sama
"Syed Saddiq jelas pendirian kita. Sebab itu 'engagement' penting untuk beritahu perkara sebenar. Terima kasih perwakilan Kuala Selangor kerana bangkitkan perkara ini," katanya.
Melalui kenyataan di Facebooknya bertarikh 1 April lalu, Mukhtar memberitahu pertemuan hampir sejam setengah itu ada perkara yang dipersetujui bersama dan ada juga yang sebaliknya.
"Kami setuju institusi reformasi adalah suatu keperluan mendesak dalam negara ini demi menukar sistem korup sedia ada dan Pas menekan betapa penyelesaian Islam adalah jalan ke hadapan.
"Namun seperkara yang kami gagal mencapai kata sepakat iaitu untuk Pas menyertai gerakan Deklarasi Rakyat yang dipimpin Tun Mahathir Mohamad dan didokong kuat oleh Pakatan Harapan," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya berharap Syed Saddiq mendapat gambaran yang lebih baik tentang Pas.
Mukhtar juga berkata di akhir pertemuan pihaknya ada mengajak Syed Saddiq bersama Pas.
"Harapan saya sekiranya beliau tidak bersama Pas sekalipun, semoga beliau tidak membenci Pas dan dapat terus bersangka baik dalam usaha Pas meski berbeza dari sudut pendekatan.
"Pada akhirnya kita mempunyai matlamat sama ingin membina Malaysia Sejahtera yang lebih baik," katanya.
0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,