Sunday, June 19, 2016

Majoriti Besar BN Memalukan Mahathir

Johari Seman     1:11:00 PM    

KUALA LUMPUR 18 Jun - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan kejutan apabila memperoleh majo­riti lebih besar dalam pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi tersebut yang berlangsung serentak hari ini.

Kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi dan Kuala Kangsar (6,969 undi) itu nyata cukup signifikan ketika kepe­mimpinan kerajaan dan parti diuji dengan pelbagai isu semasa.
Dalam pengumuman yang dibuat kira-kira pukul 10 malam ini, Budiman Mohd. Zohdi, calon BN di Parlimen Sungai Besar memperoleh 16,800 undi manakala Datin Mastura Mohd. Yazid (Kuala Kangsar) mendapat 12,653 undi.
Walaupun bukan persaingan satu lawan satu, undi yang diperoleh kedua-dua calon BN itu tetap mengatasi gabungan jumlah undi yang diperoleh lawan mereka sekali gus menyaksikan kemenangan mutlak buat Budiman dan Mastura.

Bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, undi yang diperoleh Budiman jauh meninggalkan pencabarnya, Azhar Ab. Shukur daripada PAN yang mendapat 7,609 undi manakala calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman hanya memperoleh 6,902 undi.

Di Kuala Kangsar pula, calon Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad memperoleh 5,684 undi diikuti calon PAN, Dr. Ahmad Termizi Ramli dengan 4,883 undi manakala calon Bebas, Izzat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 54 undi.

Lebih manis, kemenangan di kedua-dua kerusi itu menyaksikan kejayaan BN mempertahankan semua kerusinya dalam PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2013 lalu di samping merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP.

Dianggap ramai pemerhati sebagai ujian sebenar kepada BN selepas masih segar dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu, kemenangan di dua PRK ini jelas satu isyarat sokongan rakyat kepada kerajaan di samping tamparan hebat kepada pembangkang.


Selain isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dieksploitasi sepenuhnya oleh pembangkang, BN kali ini turut berhadapan dengan serangan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkempen secara terbuka untuk calon PAN dalam dua PRK ini.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian wakil-wakil rakyat kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Dalam PRU-13 lalu, BN menang majoriti tipis 399 undi di Parlimen Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar.
Sementara itu, di SUNGAI BESAR, sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat oleh Pegawai Pe­ngurus PRK Parlimen Sungai Besar, Mohd. Khairuddin Md. Som pada pukul 10 malam di Dewan Sri Bernam, Budiman dijulang oleh para penyokong BN.

Antara yang meraikan kejayaan BN itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Se­langor, Tan Sri Noh Omar.

Di KUALA KANGSAR, penyokong BN yang berkumpul di Dewan Jubli Perak menyambut dengan kesyukuran apabila Mastura yang juga balu kepada Wan Mohammad Khair-il Anuar diumumkan menang mempertahankan kerusi tersebut.

Antara yang meraikan kejayaan BN itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan keempat-empat anak Mastura yang terlibat secara langsung berkempen untuk ibu mereka sepanjang PRK ini.

Mastura yang masih dalam idah pula berada di kediamannya di Bukit Chandan ketika keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria.

-Utusan

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .