Alat pengimbas sonar resolusi tinggi, Klein 3900 Side Scan Sonar memberi harapan baharu untuk mengesan bangkai helikopter Eurocopter AS350B Ecureuil yang dipercayai terbenam di dasar Sungai Batang Lupar, di Sri Aman, selepas terhempas, 5 Mei lalu.
Pengimbas yang digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu direka khusus untuk tugas penyelamatan dan mampu dikendalikan tanpa memerlukan pengendali yang ramai serta boleh menggunakan bot kecil.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata alat pengimbas berkenaan kini digunakan di Sungai Batang Lupar, selepas alat pengesan logam, Sonar Starfish Metal Detector yang digunakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) gagal mengesan kedudukan helikopter berkenaan, sebelum ini.
Pencarian diteruskan
Katanya, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah ditamatkan pada jam 4 petang semalam berikutan mayat terakhir yang ditemui Isnin lalu, disahkan semalam sebagai juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas, Kementerian Pengangkutan terus mendapatkan TLDM untuk meneruskan pencarian bangkai helikopter malang itu dengan menggunakan Klein 3900 Side Scan Sonar.
"Saya ingin mengumumkan bahawa operasi SAR helikopter yang bermula pada 5 Mei lalu ditamatkan secara rasmi selewat-lewatnya jam 4 petang ini (semalam) dan semua agensi terbabit akan meninggalkan lokasi kejadian kecuali Kementerian Pengangkutan dan TLDM yang akan meneruskan pencarian menggunakan alat pengesan side scan sonar.
"Bagaimanapun, polis bersedia memberi bantuan terutama dalam aspek kawalan keselamatan jika diminta oleh Kementerian Pengangkutan kerana kawasan pencarian itu mempunyai banyak buaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, semalam.
Muhammad Sabtu, berkata pasukan SAR menghadapi kesukaran di kawasan pencarian itu kerana ia berada dalam santuari buaya dan penggunaan peralatan lebih canggih diperlukan bagi mengesan helikopter berkenaan.
Katanya, pihaknya sudah berhubung dengan Kedutaan Filipina berhubung pengesahan mayat Rudolf dan mayat mangsa dibawa ke Bau untuk upacara pembakaran, semalam.
Mayat dituntut waris
Sementara itu, mayat Rudolf dituntut anak saudaranya Rhegel Raagas Serafin, 31, di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1.15 petang semalam dan dijangka diterbang kan ke Marikina City, Filipina secepat mungkin selepas upacara pembakaran mayat di Bau, selesai.
Rhegel ketika ditemui di Rumah Mayat HUS, turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya semua pihak yang terbabit dalam operasi pencarian bapa saudaranya serta semua mangsa tragedi berkenaan.
0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,