Saturday, December 5, 2015

Bersiaga Menghadapi Banjir

Johari Seman     7:59:00 AM    



PASIR MAS - Penduduk di beberapa kampung di Gelang Mas di sini, berada dalam keadaan berjaga-jaga, berikutan kawasan berkenaan antara yang terkesan banjir setiap tahun kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Sungai Golok.

Penduduk, Abdul Rahman Jusoh, 49, berkata, setiap kali musim tengkujuh kawasan rumahnya yang terletak di Kampung Kolam akan dinaiki air sedalam dua meter.

Menurutnya, banjir tahun lepas lebih mencabar apabila air naik lebih tinggi daripada sebelumnya dan mengambil masa yang lama untuk surut.

“Setiap kali banjir ia akan ambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk air surut sepenuhnya.
“Kami sudah biasa dengan situasi ini dan kebiasaannya ia akan berlaku sebanyak empat kali melibatkan air naik dan surut,” katanya.

Persiapan awal banjir

Menurutnya, untuk tahun ini dia dan keluarga sudah bersiap sedia awal dengan mengemas semua barang-barang berharga ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.

Katanya, mereka juga sudah menyediakan sampan untuk digunakan semasa perpindahan nanti.

“Kebiasaannya kami akan berpindah sendiri ke pusat pemindahan banjir, manakala warga emas dan mereka yang sakit akan diuruskan anggota keselamatan,” katanya.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati, hampir kesemua penduduk kampung tersebut sibuk membuat persiapan dengan menyimpan segala barangan termasuk haiwan ternakan di tempat tinggi.

Kebimbangan Penduduk

Mohamad Hassan, 43, berkata, berpindah ke tempat yang disediakan bukan menjadi masalah kepada mereka, tetapi yang menjadi kebimbangan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri harta benda penduduk.

“Kadang-kadang kami takut untuk meninggalkan rumah apabila memikirkan barangan yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

“Setiap kali banjir pasti ada kes kecurian kerana ada di antara penduduk yang terpaksa tinggalkan rumah mereka berhari-hari untuk menanti air surut,” katanya.

Dia berharap, pihak berkuasa dapat membuat rondaan atau menyediakan pasukan khas bagi membuat pemantauan di sekitar kawasan terlibat dengan banjir agar kejadian jenayah tidak berlaku.

Harap banjir tidak teruk
Siti Hara Mohammad, 60, pula berharap banjir kali ini tidak besar seperti yang berlaku pada tahun lalu.
“Sudah menjadi lumrah penduduk di sini setiap tahun, cuma saya harap kali ini tidak besar.

“Alhamdulillah segala persiapan untuk menghadapi banjir sudah dibuat dengan bantuan anak-anak serta sanak saudara,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .