Sebelum rombakan Kabinet, MIC mempunyai 2 jawatan menteri penuh iaitu Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Datuk Seri Dr S Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan.
Parti itu turut mempunyai 2 jawatan timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan. 
Selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur hari ini, presiden parti Dr Subramaniam berkata beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memohon satu lagi jawatan menteri.
Mesyuarat CWC itu adalah pertama kali diadakan selepas pemilihan parti itu pada 6 November lepas yang menyaksikan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden, 3 naib presiden dan 23 jawatan dalam CWC.
Pada mesyuarat itu, bekas naib presiden Saravanan dan bekas ketua penerangan parti, Datuk VS Mogan dilantik sebagai ahli CWC.
Dr Subramaniam berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan kuasa presiden melantik 9 lagi ahli CWC.
"Tujuh lagi ahli CWC termasuk setiausaha agung dan bendahari agung akan dilantik kemudian yang mungkin mengambil masa 2 bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat lebih 2 jam itu.
Saravanan tewas kepada Datuk Seri SK Devamany dalam perebutan jawatan timbalan presiden dengan memperolehi 681 undi manakala Devamany meraih 698 undi dalam pemilihan parti.
Dalam pemilihan itu, Mogan kecundang dalam perebutan jawatan naib presiden dengan hanya memperoleh 768. Jawatan itu dimenangi 2 bekas ketua Pemuda iaitu Datuk SA Vigneswaran dan Datuk T Mohan serta bekas bendahari agung, Datuk Jaspal Singh.
Mesyuarat itu juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin, Jawatankuasa Pengurusan Aset, Jawatankuasa Pilihan Raya, Majlis Konsultasi Masyarakat India, Jawatankuasa Ekonomi dan Jawatankuasa Pendidikan.
Dr Subramaniam berkata penubuhan jawatankuasa baharu itu bagi memantapkan dan memperkuatkan parti supaya dapat mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat India terhadap parti berusia 68 tahun itu.
Diminta mengulas mengenai laporan akhbar Tamil yang menyebut penyokong kuat Palanivel bercadang untuk bekerjasama dengan kepimpinan baharu parti itu, Dr Subramaniam berkata: "Kami akan mengadakan perbincangan dengan mereka dalam masa dua minggu ini supaya dapat mencari langkah terbaik agar mereka kembali semula kepada parti." – Bernama, 28 November, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mic-mahu-satu-lagi-jawatan-menteri-penuh-dalam-kabinet#sthash.59RVPIbQ.dpuf
 
0 comments :
AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,