Sunday, May 27, 2018

Tiga beranak aktif mencuri ditangkap

Johari Seman     9:52:00 PM    

PIHAK polis berjaya merampas semula barang yang dicuri daripada pasangan suami isteri serta anak lelaki berusia tujuh tahun
KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tujuh tahun yang giat melakukan jenayah curi di pasar raya sekitar daerah ini sejak Mei tahun lalu berakhir apabila mereka diberkas polis, petang semalam.

Tiga beranak itu diberkas di bangunan Centre Point di sini oleh pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, tangkapan tiga beranak ini susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki selepas jam tangan jualan di premisnya hilang dipercayai dicuri, 9 April lalu.

"Hasil penelitian rakaman CCTV di premis itu, kelihatan pasangan suami isteri bersama kanak-kanak lelaki mencuri jam tangan di premis berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, anggota polis menahan pasangan itu dan anak lelaki mereka di bangunan Centre Point berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, sepasukan polis menjalankan serbuan di sebuah bilik sewa di Taman Rindu, Luyang, di sini, dan menemui pelbagai barangan antaranya baju, beg tangan wanita, dompet, stokin, lapan jam tangan, tiga botol minyak wangi dan selipar yang dipercayai dicuri oleh suspek terbabit.

"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, pasangan suami isteri itu mendedahkan bahawa mereka bergiat dalam kegiatan jenayah curi bangunan di sekitar bandar raya ini terutama di kawasan Imago, Suria Sabah, KK Plaza dan Centre Point sejak Mei 2017.

"Suspek turut mengaku hampir semua barangan yang dirampas adalah barang curi dan masih mempunyai tanda harga," katanya.

Menurut Chandra, modus operandi pasangan suami isteri itu ialah mengunjungi pasar raya dengan membawa anak lelaki mereka serta beg tangan jenis sarung untuk menyorokkan barang curi.

"Soal siasat lanjut masih diteruskan dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Pasangan suami isteri berusia 41 dan 33 tahun direman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .