Showing posts with label JENAYAH. Show all posts
Showing posts with label JENAYAH. Show all posts

Sunday, May 27, 2018

Tiga beranak aktif mencuri ditangkap

Johari Seman     9:52:00 PM    
PIHAK polis berjaya merampas semula barang yang dicuri daripada pasangan suami isteri serta anak lelaki berusia tujuh tahun
KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tujuh tahun yang giat melakukan jenayah curi di pasar raya sekitar daerah ini sejak Mei tahun lalu berakhir apabila mereka diberkas polis, petang semalam.

Tiga beranak itu diberkas di bangunan Centre Point di sini oleh pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, tangkapan tiga beranak ini susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki selepas jam tangan jualan di premisnya hilang dipercayai dicuri, 9 April lalu.

"Hasil penelitian rakaman CCTV di premis itu, kelihatan pasangan suami isteri bersama kanak-kanak lelaki mencuri jam tangan di premis berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, anggota polis menahan pasangan itu dan anak lelaki mereka di bangunan Centre Point berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, sepasukan polis menjalankan serbuan di sebuah bilik sewa di Taman Rindu, Luyang, di sini, dan menemui pelbagai barangan antaranya baju, beg tangan wanita, dompet, stokin, lapan jam tangan, tiga botol minyak wangi dan selipar yang dipercayai dicuri oleh suspek terbabit.

"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, pasangan suami isteri itu mendedahkan bahawa mereka bergiat dalam kegiatan jenayah curi bangunan di sekitar bandar raya ini terutama di kawasan Imago, Suria Sabah, KK Plaza dan Centre Point sejak Mei 2017.

"Suspek turut mengaku hampir semua barangan yang dirampas adalah barang curi dan masih mempunyai tanda harga," katanya.

Menurut Chandra, modus operandi pasangan suami isteri itu ialah mengunjungi pasar raya dengan membawa anak lelaki mereka serta beg tangan jenis sarung untuk menyorokkan barang curi.

"Soal siasat lanjut masih diteruskan dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Pasangan suami isteri berusia 41 dan 33 tahun direman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Maut motosikal rempuh pacuan empat roda

Johari Seman     1:18:00 PM    
KOTA MURUDU: Seorang kakitangan kerajaan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pekan Lama, Simpang Kampung Radu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Jamil Mijal, 58, yang menunggang motosikal seorang diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah pekan Kota Marudu menuju ke Pekan Lama.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang dengan laju oleh mangsa masuk ke lorong bertentangan sebelum merempuh sebuah Toyota Hilux.

"Impak pertembungan itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Polis tahan suspek kes tembak

Johari Seman     1:12:00 PM    
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki berumur 40-an bagi membantu siasatan kejadian tembakan di Taman Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek ditahan di Tanjung Tokong, Georgetown, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan suspek direman selama enam hari hingga 1 Jun ini.

"Selain itu, kita sudah merakamkan keterangan daripada lima individu, termasuk saksi di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi semalam, seorang peniaga telefon bimbit nyaris maut ditembak seorang lelaki bertopeng ketika sedang memandu.

Mangsa, Tan Yi Chin, 23, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta, namun cedera di bahu kanan, lengan dan badan akibat terkena tiga daripada 11 das tembakan dilepaskan suspek.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, doktor belum mengeluarkan semua peluru daripada tubuh mangsa, dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Saturday, May 26, 2018

VIP Kena Tembak 9 Das

Johari Seman     2:44:00 PM    
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki dipercayai individu kenamaan (VIP) cedera dalam kejadian tembakan di simpang Taman Sentosa, Jalan Kulim, Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.
Lelaki yang masih belum dikenalpasti identitinya itu dipercayai ditembak sekurang-kurangnya sembilan das tembakan dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi tadi.



Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, beliau terdengar bunyi letupan yang disangka mercun sebelum melihat sebuah kereta jenis Honda Accord terbabas di pembahagi jalan berhampiran simpang tiga di situ.
Katanya, mangsa yang cedera dibantu orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.
Ketika ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid masih dalam perjalanan ke tempat kejadian dan maklumat lanjut akan dikemaskini.

Friday, May 25, 2018

Jamal dituduh cetus bahaya, pecah botol arak dalam demo

Johari Seman     12:58:00 PM    
AMPANG, 25 Mei — Datuk Seri Jamal Md Yunos diheret ke mahkamah berkaitan demonstrasi memecah botol arak di pintu masuk bangunan pentadbiran Selangor tahun lepas.

Pemimpin Umno itu didakwa melakukan mudarat awam apabila memecahkan botol itu dengan tukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam, lapor portal Harian Metro.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di depan bangunan tersebut di Shah Alam pada 10.15 pagi 5 Oktober 2017 bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Terkenal dengan pelbagai gimik bantahan, Jamal melakukan tindakan tersebut dalam demonstrasinya membantah pesta bir yang diadakan di negeri itu

Pertuduhan terhadapnya bagaimanapun terpaksa dibuat di wad hospital di sini kerana beliau masih menjalani rawatan masalah sakit belakang.

Mahkamah membenarkan tertuduh, mula terkenal melalui Gerakan Baju Merah, diikat jamin RM3,000.

Sebutan semula kes akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Jun.

Tuesday, May 22, 2018

Pemandu lori lari sekatan jalan raya dipenjara 5 tahun

Johari Seman     12:46:00 AM    
KAJANG, 21 Mei: Seorang pemandu lori yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis dari Kajang ke Subang Jaya dan melanggar beberapa buah kenderaan dua minggu lepas, sehingga video insiden itu tular di laman sosial, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu ke atas Nik Muhamad Khairul Azhar Nik Azmi, 28, selepas tertuduh yang berbaju T hijau muda dan memakai penyangga leher mengaku bersalah atas empat pertuduhan iaitu memandu lori secara berbahaya, melakukan cubaan bunuh dengan cuba melanggar anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan melakukan perbuatan khianat.

Selepas kesemua pertuduhan dibacakan, Nik Muhamad Khairul Azhar yang kelihatan bersahaja di kandang tertuduh menjawab “saya mengaku salah puan” sambil tersenyum ke arah tertuduh lain di sebelahnya sehingga Majistret Nor Afidah bertanyakan kepada peguam Nor Asyikin Zakaria yang mewakili tertuduh adakah anak guamnya itu sihat mental dan fizikalnya.

Peguam itu kemudiannya memaklumkan anak guamnya sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Bagi pertuduhan memandu lori secara berbahaya, Nik Muhamad Khairul Azhar dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan sekiranya dia memiliki lesen memandu, lesennya digantung selama tiga tahun bermula hari ini dan jika tertuduh tidak memiliki lesen memandu, dia hilang kelayakan untuk memiliki lesen tersebut, juga bermula hari ini.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh, penjara setahun bagi pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas dan penjara dua tahun bagi pertuduhan melakukan khianat, menjadikan jumlah hukuman penjara bagi empat pertuduhan adalah 10 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei lepas.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menjalankan sekatan jalan raya di Kajang dan mengarahkan lori yang dipandu tertuduh berhenti kerana membawa muatan melebihi had namun tertuduh memecut untuk lari dari lokasi sekatan.

Anggota polis yang menaiki motosikal kemudian cuba memintas lori tersebut namun lori itu menghimpit dan cuba melanggar anggota polis dan melanggar beberapa kenderaan lain.

Tertuduh terus memandu sehingga memasuki Subang Jaya, melanggar beberapa kenderaan lain sehingga anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori yang kemudian terbabas merempuh pencawang elektrik sebelum tertuduh berjaya ditahan.

Ketika rayuan, peguam Nor Asyikin memberitahu mahkamah tertuduh yang berkahwin dan mempunyai tiga anak kecil telah insaf dan memohon maaf kepada semua pihak terlibat dan merayu hukuman ringan serta berjanji tidak mengulangi kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira tindakan dilakukan tertuduh adalah tindakan berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga orang awam selain bagi memberi pengajaran kepada semua masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.— Bernama

Polis Selangor Berkas Empat Disyaki Penyamun

Johari Seman     12:32:00 AM    
SHAH ALAM, 21 Mei: Polis Selangor memberkas empat lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah pusat beli-belah di Damansara Jaya, Petaling Jaya, dekat sini, dalam tiga tangkapan berasingan Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata suspek pertama diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bukit Beruntung, Rawang kira-kira 1.15 pagi.

Beliau berkata soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Bukit Sentosa, Rawang dan polis menahan seorang lagi rakan suspek pada 3 petang hari yang sama.

“Di Bukit Sentosa, lelaki yang ditahan mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak oleh anggota kita sejurus selepas melakukan samun di kedai emas tersebut, Jumaat lepas.

“Dua lagi anggota kumpulan itu ditahan selepas bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang kira-kira 5 petang, juga pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, susulan penahanan kesemua suspek yang berusia 22 hingga 30 tahun tersebut, polis merampas pelbagai pucuk pistol selain menemui semula sebahagian barang kemas yang dilarikan kumpulan itu bernilai kira-kira RM400,000.

Katanya polis kini giat memburu tiga lagi anggota kumpulan tersebut yang disifatkan berbahaya kepada orang awam kerana memiliki senjata api.

“Berikutan tumpasnya kumpulan berkenaan, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 26 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971, Seksyen 395/397 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 5 petang Jumaat lepas, enam suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan tiga pucuk pistol menyamun sebuah kedai emas.

Dua daripada mereka maut dalam kejadian berbalas tembak dengan polis ketika cuba melarikan diri sejurus kejadian manakala empat lagi berjaya diberkas.

Pada awal pagi Sabtu, polis menembak mati seorang lagi anggota kumpulan tersebut di Bukit Beruntung.– Bernama

Friday, April 20, 2018

Cabul Mangaku Tidak Bersalah

Johari Seman     12:27:00 PM    
KUALA TERENGGANU, 19 Apr: Seorang juruteknik berasal dari Marang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 16 pertuduhan mencabul dan melakukan pornografi terhadap kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 8 hingga 11 tahun yang dilakukan di antara November 2017 hingga Mac tahun ini.

Tertuduh, Mohammad Amir Mohd Layi, 20, dituduh melakukan 12 kes cabul dan empat video pornografi ke atas 12 kanak-kanak perempuan di tiga lokasi berlainan di daerah Kuala Terengganu dan 10 lokasi berlainan di daerah Marang.

Pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan tiga hakim Mahkamah Sesyen berbeza iaitu Hakim Azman Mustapha, Mohamad Haldar Abdul Aziz dan Rofiah Mohamad.

Kesemua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (b) boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Tiada jaminan ditetapkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 22 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, dan Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Nik Radhia Nik Ya.– Bernama

Thursday, April 19, 2018

Langgar kereta Kevin Morais kerana brek mengejut – Tertuduh

Musang Maya (Nur Shila)     5:01:00 PM    
KUALA LUMPUR, 19 Apr: Tertuduh keenam yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kemalangan yang berlaku antara kenderaan pacuan empat roda dipandunya dengan kereta Kevin Morais pada 4 Sept 2015, berpunca kerana mangsa memberhentikan keretanya secara mengejut.

S.Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam berkata ketika itu dia sedang bercakap di telefon dengan bekas tertuduh kedua, G. Gunasekaran atau Jay yang memandu Proton Perdana V6 bersama tertuduh ketujuh, S. Ravi Chandaran, selepas kenderaan mereka terpisah di satu persimpangan lampu isyarat.

“Saya telefon Ravi, Jay jawab telefon. Saya tanya di mana mereka kerana tak nampak di belakang kereta saya, pada masa itu di hadapan saya sebuah kereta telah membrek dan saya telah melanggar belakang kereta itu,” katanya ketika pemeriksaan utama peguam V. Rajehgopal pada prosiding bela diri hari kesembilan kes itu di sini.

Katanya selepas pelanggaran itu, dia dan Kevin Morais yang memandu Proton Perdana V6 telah mengalihkan kenderaan masing-masing ke tepi jalan sebelum keluar dari kenderaan dan pergi ke belakang kereta Kevin Morais.

“Semasa kami berdua (Nimalan dan Kevin Morais) ke belakang kereta yang dilanggar itu, Jay sampai. Jay berjabat tangan dengan pemandu kereta itu (Kevin Morais). Saya ingat mungkin mereka kenal antara satu sama lain,” katanya.

Nimalan berkata Jay kemudian telah bertanya apa yang telah berlaku dan dia kemudian menceritakan bahawa kenderaannya telah melanggar kereta Kevin Morais dan Jay kemudian memberitahu bahawa dia mengenali pemandu kereta itu dan berkata dia akan berbincang dengan mangsa serta menyuruh Nimalan masuk ke kenderaannya.

Tidak lama kemudian katanya, bapa saudaranya iaitu Ravi Chandaran juga datang ke arah mereka dan juga menyuruh Nimalan masuk ke kenderaannya sambil berkata “biar saya lihat”.

Terdahulu, tertuduh berkata kejadian kemalangan itu berlaku di Jalan Dutamas, di sini, selepas dia sekali lagi dibawa ke kawasan Kondominium Menara Duta, kediaman yang dihuni Kevin Morais.

Nimalan berkata sebagaimana hari sebelumnya, dia yang memandu Mitsubishi Triton dinaiki tiga tertuduh iaitu R.Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar dan M.Vishwanath mengekori kereta dipandu Jay bersama bapa saudaranya itu.

“Jay telah ke kondominium yang sama, saya dan Jay turun dari kereta, saya bertanya kenapa datang ke tempat sama, kamu nak jumpa sesiapa ke? Jay jawab tidak dan suruh saya masuk kereta dan kata bila saya bunyikan hon, baru you keluar (beredar dari situ),” katanya.

Tertuduh berkata selepas beberapa ketika, dia mendengar bunyi hon dan terus beredar keluar dari kawasan kondominium itu diekori kereta Jay sebelum kenderaan mereka terpisah di persimpangan lampu isyarat kira-kira 500 meter dari kondominium Kevin Morais.

Pada prosiding itu, Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam V.Rajehgopal manakala doktor tentera Kolonel Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 17 Mei.— Bernama

Koperal polis bebas tuduhan hantar komunikasi palsu mengenai PM, TPM

Musang Maya (Nur Shila)     3:37:00 PM    
KUALA LUMPUR, 19 Apr: Seorang koperal polis dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi palsu mengenai perdana menteri dan timbalan perdana menteri di laman Facebook miliknya, dua tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor membebaskan Kpl Nik Azmi Nik Mustapha, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya beliau berkata, terdapat lompangan pada kes ini apabila pihak pendakwaan tidak memanggil saksi daripada Kelab Suara UMNO bagi membuktikan status yang dimuat naik itu adalah benar.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan beberapa elemen termasuk elemen menyakitkan hati seperti dalam pertuduhan. Laporan forensik juga tidak menjumpai sebarang maklumat bagi mengaitkan kes.

“Setelah mendengar keterangan-keterangan saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKS. Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan OKS tanpa memanggil untuk membela diri,” katanya.

Nik Azmi yang digantung kerja sejak kes itu, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Nik Azmi Nik Mustapha’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 12 tengah malam, 12 Dis 2016.

Pautan itu kemudian telah dibaca melalui laman Twitter “Kelab Suara UMNO @SuaraUMNO” di Pejabat Siasatan Jenayah D5, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, di sini pada pukul 4.30 petang, 14 Dis tahun sama.

Nik Azmi didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pembabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala tertuduh diwakili peguam Zulhazmi Shariff.

Empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 21 Mac 2018.– Bernama

Wednesday, April 18, 2018

Tertuduh Ke Kawasan Kondominium Kevin Morais Sehari Sebelum Mangsa Hilang

Musang Maya (Nur Shila)     5:25:00 PM    
KUALA LUMPUR, 18 Apr: Seorang tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia bersama-sama lima tertuduh lain pergi ke kawasan kondominium yang dihuni Kevin Morais pada 3 Sept 2015, sehari sebelum mangsa dilaporkan hilang.

S.Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam, berkata pada hari itu, dia memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang turut dinaiki tiga tertuduh lain iaitu R.Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar dan M.Vishwanath.

Dia berkata pada masa itu, mereka dalam perjalanan dari sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor ke sebuah hotel di Petaling Jaya.

Nimalan berkata dalam perjalanan itu, dia telah mengekori kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki tertuduh ketujuh yang juga bapa saudaranya, S.Ravi Chandaran, dan bekas tertuduh kedua yang telah bebas, G.Gunasekaran.

“Kami ekori kereta yang dipandu Jay (Gunasekaran) lebih kurang 10 hingga 15 minit (perjalanan), dan kami berhenti dekat satu kondominium,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam V. Rajehgopal pada prosiding membela diri yang masuk hari kelapan.

Saksi pembelaan kelima itu juga mengesahkan kondominium itu adalah kondominium sama yang ditinjau oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan semalam iaitu Kondominium Menara Duta di Jalan Dutamas Raya, di sini yang dihuni oleh Kevin Morais.

Nimalan berkata dia memberhentikan kenderaannya di kondominium itu setelah Gunasekaran, yang memandu kereta di hadapannya, berhenti dan dia perlu mengekori Gunasekaran.

Tertuduh juga memberitahu mereka hanya berada berhampiran kondominium itu beberapa minit sahaja sebelum beredar serta tiada sesiapa yang keluar dari kedua-dua kenderaan itu.

Selepas itu, mereka berlima terus ke sebuah hotel di Sunway, Petaling Jaya dan menginap di hotel berkenaan, katanya.

Pada prosiding itu, Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam V.Rajehgopal manakala doktor tentera Kolonel Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan. Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath,Nimalan, Ravi Chandaran dan Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.— Bernama

Tahanan Sosma Maut Dalam Lokap Berpusat Shah Alam

Musang Maya (Nur Shila)     1:49:00 PM    
SHAH ALAM, 18 Apr: Seorang lelaki berumur 38 tahun yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma maut ketika dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam di sini, malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata lelaki itu ditemukan pengsan di dalam sebuah sel di lokap berkenaan oleh anggota bertugas yang kemudiannya terus membawa mangsa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

“Tahanan tersebut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 9.05 malam tadi oleh pegawai perubatan di hospital tersebut.

“Proses bedah siasat akan dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, Mazlan berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan menjalankan pemeriksaan ke atas kawasan lokap, semua tahanan dan petugas lokap berpusat itu hari ini.

Monday, April 16, 2018

Disamun Selepas Seks Oral

Musang Maya (Nur Shila)     5:17:00 PM    
Seorang lelaki berputih mata apabila dia disamun pondan selepas melakukan seks oral di sebuah hotel bajet di sini, Isnin lalu.

Mangsa mengalami kerugian RM210 selepas wangnya dirampas pondan tersebut dari dompetnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa berusia 29 tahun itu mengenali pondan yang dikenali sebagai Sha itu menerusi aplikasi Wechat sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, pada 9 April lalu kira-kira jam 9 malam, mangsa berjumpa dengan pondan terbabit di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Penang untuk melakukan seks oral.

"Mangsa berkenalan dengan suspek melalui Wechat dan berjanji untuk berjumpa di sebuah bilik di hotel terbabit. Setelah melalukan seks oral, suspek meminta wang daripada mangsa lalu mangsa memberinya RM10.

"Berang dengan jumlah wang tersebut, suspek terus merampas dompet mangsa dan mengambil wang RM200. Suspek masih tidak puas hati dan minta RM50 lagi dari suspek namun suspek sudah tidak mempunyai wang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, suspek berusia 17 tahun itu turut mengugut untuk mencederakan mangsa bersama rakan-rakannya nanti.

"Berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang tiada rekod jenayah lampau ditahan malam tadi di sekitar bandar ini. Mangsa sebenarnya tertipu kerana dia ingat pondan tersebut seorang wanita berikutan suspek menggunakan gambar wanita dalam akaun Wechatnya.

"Apabila berjumpa di bilik hotel, baru dia tahu yang suspek sebenarnya seorang lelaki dengan berpakaian wanita," katanya.


Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2018/04/12/disamun-pondan/#1Ul4M8s54AVDQlCh.99

Wednesday, March 21, 2018

Dera pembantu rumah: Datin Rozita, penjamin hilang

Musang Maya (Nur Shila)     4:51:00 PM    
SHAH ALAM, 21 Mac — Datin Rozita Mohamad Ali, yang dituduh mendera pembantu rumahnya, dan penjaminnya tidak dapat dikesan di rumah mereka.

Pihak pendakwa raya dua kali ke rumah mereka di Selangor dan Melaka, seperti disenarai Rozita, tetapi mendapati rumah tersebut kosong.

“Pada mulanya ada masalah dan kemudian kami masuk ke rumah tersebut, rumah penjamin itu kosong,” kata ketua pendakwaan Selangor.

Muhamad Iskandar Ahmad menjelaskan masalah tersebut kepada hakim Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar rayuan pihak pendakwaan hari ini.

Keputusan kes tersebut dipertikaikan ramai kerana Rozita dianggap menerima hukuman ringan.

Khamis lalu, wanita 44 tahun itu dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya, yang menarik perhatian ramai apabila mangsa ditemui di tepi longkang.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman selepas Rozita menukar pengakuan bersalah setelah pertuduhan pindaan terhadapnya dibacakan.

Beliau didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini, antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Video mangsa terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan tersebut, di sini, tersebar meluas di media sosial.

Tuesday, March 20, 2018

Kes JANS: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Chee Kong

Musang Maya (Nur Shila)     2:37:00 PM    
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak bantahan yang difailkan pihak pembelaan berhubung perbicaraan bersama kes skandal rasuah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menolak permohonan untuk semakan berkaitan perkara itu oleh bekas Timbalan Pengarah JANS, Teo Chee Kong yang didakwa melakukan pengubahan wang haram.

Nurchaya turut menolak permohonan semakan Chee Kong berkaitan keengganan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat untuk menarik diri daripada pendengaran perbicaraan kes itu.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata tiada kemungkinan bahaya yang sebenar dalam erti kebarangkalian berat sebelah di pihak Hakim Mahkamah Sesyen.

Ketika menolak permohonan itu, beliau juga berkata, tiada isu berkaitan saksi dan bukti berbeza yang terbabit dalam kes berkenaan.

Penghakiman Nurchaya disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Dana Arabi Wazami kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Chee Kong diwakili barisan pembelaan yang diketuai peguam Roland Cheng, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Nurchaya kemudian mengarahkan perbicaraan bersama diteruskan pada kadar segera.

Perbicaraan Chee Kong bersama bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijadualkan pada 4 dan 5 April depan.

Mengenai permohonan Chee Kong bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), buku log dan dokumen lain, Nurchaya mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyediakan fail yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Ketika ditemui pemberita, Tengku Amir mengesahkan perbicaraan bersama itu kekal, namun begitu, katanya Chee Kong mungkin membuat rayuan berkaitan keputusan permohonannya di Mahkamah Rayuan.

Pada 13 Disember tahun lalu, Chee Kong mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan RM32.93 juta.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pada Oktober 2016, Chee Kong dan Mohd Tahir direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan dana projek infrastruktur air di Sabah sebelum dibebaskan dengan jaminan agensi itu.

Pada 29 Disember tahun yang sama, Mohd Tahir dan Fauziah mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM59.1 juta, selain dua pertuduhan memiliki 575 barangan kemas dan 346 barangan bernilai lain yang diperolehi secara tidak sah.

Wednesday, August 2, 2017

Zahid Mat Arip Bangsatkan Parti Bunga Dengan Skandal Rasuah

Musang Maya (Nur Shila)     3:51:00 PM    
Penahanan Zahid Mat Arip yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PPBM, bukti parti pimpinan Mahathir itu dipenuhi dengan orang bermasalah dan penuh dengan skandal.

Semua jenis ada dalam parti Mahathir. Ada yang skandal dengan isteri orang, ada yang kuat berdisko, ada yang "klimaks 4 kali" dengan boyfriend, ada yang bankrap dan ada yang terbabit dengan skandal rasuah.

Zahid Mat Arip sebelum ini adalah bekas Pegawai Khas Kepada bekas Pengerusi FELDA. Ahli majlis tertinggi PPBM itu disiasat dalam kes pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Zahid Mat Arip dalam satu video ceramahnya di Sabah menyatakan bahawa tanda tanda pilihanraya umum ke 14 akan diadakan bila ada jerung besar ditangkap oleh SPRM. Zahid Mat Arip ketika ceramah itu menggunakan pentas ceramah PPBM.

Memang benarlah jerung besar itu adalah dirinya sendiri. Memang Zahid Mat Arip tahu dia telah melakukan kesalahan rasuah dan memang menunggu tangkapan dilakukan SPRM terhadapnya.

Zahid Mat Arip sengaja buat kenyataan "pre emptive" untuk mengaitkan tangkapan itu nanti dengan teori konspirasi. Itu bukan tanda pilihanraya makin dekat dan konspirasi, itu maksudnya Zahid Mat Arip sendiri tahu dia sudah kantoi dalam isu rasuah. Zahid Mat Arip ditangkap kerana ada bukti dan asas.

28 Julai 2017, SPRM telah menyerbu dua pejabat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dalam pembelian hotel empat bintang di Kuching, Sarawak.

Dua pejabat itu adalah sebuah pejabat perakaunan di Taman Tun Dr Ismail, dan sebuah pejabat peguam di Damansara, Selangor. 27 Julai 2017, SPRM berkata hotel bertaraf empat bintang yang terletak di Kuching, Sarawak itu dipercayai dibeli pada harga yang lebih tinggi daripada harga asal.

Selepas dua pejabat di TTDI dan Damansara itu diserbu, 5 hari selepas itu Zahid Mat Arip dicekup. Mungkin Zahid Mat Arip dicekup berdasarkan bukti yang ada menerusi dua pejabat terbabit. Oleh itu, puak parti bunga janganlah membuat teori konspirasi yang tidak masuk akal berkenaan tangkapan Zahid Mat Arip ini.

Mungkin ini satu kifarah kepada Zahid Mat Arip. Dalam satu rakaman video Zahid Mat Arip membidas Zahid Hamidi, beliau berkata dengan nada begitu angkuh mengatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah seorang pemimpinn bersifat 'Low Class'.

Sudahnya, beliau yang low class apabila ditahan dan digari oleh Pegawai SPRM kerana ditahan atas kes rasuah. Malah dipakaikan baju lokap oren SPRM. Lebih "low class" bila buat cerita konspirasi atas pentas ceramah PPBM untuk tutup dosa rasuah diri sendiri.

Kes Zahid membawa lumpur rasuah yang terpalit kepada partinya PPBM yang dipengerusikan oleh Mahathir. Kerana kes Kutty, Zahid Mat Arip buat video kecam Zahid Hamidi.

Hendak lawan buat apa perkara yang memang sah benar dan betul. Memang keluarga Mahathir kalau ikutkan sejarah di Rumah Kelahiran Mahathir di Alor Setar berasal dari Kerala, India. Kenapa mahu sensitif bila disebut "kutty"?

Patutnya lebih sensitif bila terpalit isu rasuah dan dipakai baju lokap SPRM berwarna oren. Ini lebih memalukan.

Akhirnya, orang yang mengutuk Timbalan Perdana Menteri itu sebenarnya yang lebih buruk perangainya. Rupa rupanya terpalit dengan skandal rasuah.

Pemimpin PPBM sibuk menuduh pemimpin kerajaan melakukan rasuah dan sebagainya, tapi sebenarnya Zahid Mat Arip, ahli majlis tertinggi PPBM yang menjadi dalang sebenar mengamalkan rasuah ketika berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Tony Pua tidak sempat hendak cari pemimpin yang rasuah sebegini dalam PPBM. Bolehlah Zahid Mat Arip berjiran dengan Guan Eng nanti. Sama sama pakai uniform oren, baju lokap SPRM.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, mereka berjanji mahu pulihkan Felda. Kini Felda sudah dipulihkan sebenarnya bila tertangkapnya Zahid Mat Arip, ahli majlis tertinggi parti PPBM dalam skandal rasuah Felda.

Imej PPBM, Mahathir, Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Mukhriz tercalar teruk kerana skandal rasuah Zahid Mat Arip ini.

Jangan dilupakan, Pengerusi PPBM, Mahathir juga hanya menunggu masa untuk dipanggil dan disiasat pula oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan skandal dagangan mata wang asing (FOREX).

Mahathir sudah pasti akan buang Zahid Mat Arip ini. Baginya kes rasuah Zahid Mat Arip tentunya dosa besar bagi PPBM. Dosa yang lebih besar dari skandal kerugian Forex Bank Negara.

Ainina yang "klimaks 4 kali" sudah kena pecat. Zahid Mat Arip pula akan kena selepas ini. Rasuah Zahid Mat Arip ini sudah membangsatkan parti bunga.


Tulisan :
Beruang Biru
BB521, Rabu
2 Ogos 2017

Monday, May 15, 2017

Reka Cerita Diculik Dihukum Penjara 3 Bulan

Johari Seman     12:11:00 PM    
BATU GAJAH 15 Mei - Seorang peniaga online dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mereka cerita kononnya diculik ketika menghantar barangan kepada pelanggan di Taiping pada 3 Mei.

Kes penculikan wanita itu yang merupakan isteri seorang anggota polis berpangkat koperal di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum ini tular di Facebook selepas dimuat naik oleh pengguna laman sosial.

Majistret Mohd. Fitri Sadaruddin memerintahkan hukuman penjara terhadap wanita itu, Nurfauzilah Ariffin, 39, berkuatkuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 9 Mei lalu.

Mengikut tuduhan, ibu enam anak itu didakwa memberi maklumat palsu melalui Whatsapp dengan menghantar pesanan suara meminta tolong dan menghantar pesanan messenger melalui Facebook miliknya dengan memberitahu sedang berada dalam tahanan seseorang dalam tulisan bahasa Indonesia.

Perbuatan Nurfauzilah didakwa telah menyebabkan satu laporan polis dibuat suaminya di IPD Perak Tengah sehari kemudiannya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh pada kira-kira pukul 7.30.malam, 3 Mei lalu di Kuaters IPD Perak Tengah di Seri Iskandar dekat sini.

Pertuduhan terhadap Nurfauzilah dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar mengikut Sekyen 182 kanun yang sama kerana membuat keterangan palsu.

Sesyen itu memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN MALAYSIA ONLINE


Sunday, April 23, 2017

Seorang maut, seorang parah bot awam dan bot pelancong berlanggar

Johari Seman     10:37:00 AM    
SEMPORNA: Seorang meninggal dunia dan seorang cedera parah dalam insiden perlanggaran sebuah bot awam dengan bot pelancong di perairan Pelabuhan Semporna, berhampiran ‘floating’, di sini, kira-kira jam 3.10 petang Rabu.

Kemalangan itu melibatkan bot awam yang dinaiki empat lelaki dan bot pelancong yang dinaiki seorang juragan, dua kru dan 10 pelancong China (lima lelaki, lima perempuan).

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata mangsa yang maut ialah Muhammad Arhidar Abdullah, 10, beralamat di Kampung Samar-Samar Pulau Bum Bum.

“Semasa ditemui, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia iaitu kira-kira tiga jam selepas dilaporkan hilang di laut dalam insiden yang berlaku,” katanya di sini, kelmarin.

Katanya seorang lagi penumpang, Juliman Rasis, 24, beralamat di Kampung Terusan Kiba, Pulau Bum-Bum pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Tawau bersama Arhidar.

Peter berkata selain Arhidar dan Juliman, bot awam terlibat turut dinaiki Jaafar Bakial, 41, dan Mohamad Rijal Rano, 12, yang berjaya diselamatkan di dalam insiden terbabit.

“Kesemua pelancong, juragan dan dua kru bot pelancong yang dilengkapi dengan dua enjin bot berkapasiti 250 kuasa kuda (setiap satu) berkenaan tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata sebelum insiden itu berlaku, bot pelancong terbabit dalam perjalanan dari Pulau Mataking menuju ke Pekan Semporna untuk menghantar muatan pelancongnya.

Mengikut keterangan pengadu, perlanggaran itu berlaku kerana tidak menyedari bot awam terbabit yang dikatakan tiba-tiba berada di hadapan bot pelancong.

“Hasil soal-siasat dengan pengadu, silauan matahari adalah punca pengadu tidak dapat melihat kelibat bot awam yang datang dari arah kanan melintas di hadapan botnya.

“Kelibat bot awam hanya disedari pada jarak kira-kira lima meter dari bot pelancong, dan sebaik pertembungan berlaku antara haluan bot pelancong dan buritan bot awam,” katanya.

Peter berkata kejadian itu menyebabkan bot pelancong itu terdorong ke hadapan dari lokasi kejadian, dan ada beberapa orang dari bot awam itu dilihat berenang.

Selepas insiden itu berlaku, katanya, juragan dan kru bot pelancong kemudiannya bergegas dan menyambut mangsa terlibat untuk menaiki bot mereka.

“Juragan ataupun suspek utama kes ini kini ditahan reman bermula hari ini selama empat hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pecah Rumah Dua Pemuda Ditahan Polis

Johari Seman     10:33:00 AM    
MIRI: Dua remaja ditahan polis dalam Ops Pintu selepas disyaki terlibat kegiatan pecah rumah dan curi serta memiliki barang curi di Taman Tunku, malam kelmarin.

Kedua-dua suspek ditahan masingmasing berusia 19 tahun dari Desa Pujut, Bandar Baru Permyjaya dan Kampung Haji Wahed.

Ketua Polis Daerah Miri ASP Khoo Leng Huat berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri membuat intipan di salah sebuah pusat komersial di sini bagi mengesan suspek.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi (malam kelmarin), kedua-dua suspek dilihat menunggang dua motosikal dalam keadaan yang mencurigakan.

“Terdapat sebuah kotak berwarna biru disyaki barang curi dalam salah satu motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam sejurus selepas itu.

Khoo berkata antara barang yang dirampas bersama suspek adalah satu kotak ‘racing gear’, seunit ‘head’ enjin motosikal, satu set kunci motosikal dan sebuah telefon bimbit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Maut Kerana Seks Dalam Kereta

Johari Seman     9:49:00 AM    
SEORANG pegawai tertinggi polis menafikan kemalangan maut yang membabitkan seorang anggotanya bersama kekasih berpunca daripada kedua mangsa melakukan hubungan seks ketika kejadian.

Sebaliknya, beliau mendakwa impak pelanggaran itu menyebabkan pakaian mangsa 'terbuka'.
Gambar menunjukkan Konstabel Ramon Stephens dan teman wanitanya ditemui dalam keadaan separuh bogel di dalam kereta.
Kedua mereka maut akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan yang berlaku di Easter Sunday di Jamaica.

Beberapa saksi berkata, kereta yang dipandu mangsa terlalu laju dan kemudiannya hilang kawalan, kemungkinan disebabkan seks.
Bagaimanapun Unit Keselamatan Jalan negara itu menafikan perbuatan seksual merupakan punca kemalangan maut di Lebuhraya 2000 Utara Selatan.
Akhbar tempatan, The Jamaica-Star melaporkan polis mengeluaran kenyataan tegas berhubung spekulasi bahawa seks sebagai punca nahas.

Pengarah di Kementerian Pengangkutan negara itu, Kanute Hare memberitahu The Star bahawa gambar-gambar yang tersebar itu bukan bukti yang cukup untuk mendakwa kedua mangsa sedang melakukan seks sebelum kemalangan berlaku.

"Perlu diingatkan bahawa mayat ditemui dalam keadaan tidak duduk tetap di dalam kereta, dan ia dilihat mereka tidak memakai tali pinggang keledar. Ingin saya perjelaskan... mereka yang berada di tempat kejadian memberitahu mereka melihat lelaki itu masih berseluar.

"Kita dengar banyak khabar angin tetapi jika anda tidak boleh tampilkan bukti kukuh, saya tidak boleh menyebutkannya sebagai punca nahas kerana saya tidak melihatnya," kata Hare kepada The Star. - Mirror

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .