Showing posts with label EKONOMI. Show all posts
Showing posts with label EKONOMI. Show all posts

Sunday, May 27, 2018

Ringgit ditutup tidak berubah

Johari Seman     1:45:00 PM    
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak banyak berubah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan minat belian baharu, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 3.9790/9830 berbanding 3.9790/9820 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, pelabur terus berada dalam keadaan berhati-hati berikutan beberapa faktor, termasuk penurunan harga minyak dan hasil bon AS, serta keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk menghentikan pertemuan yang dirancang dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Sementara itu, mata wang tempatan itu ditutup bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang asing lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3128/3197 daripada 5.3287/3339 pada Khamis dan meningkat berbanding euro kepada 4.6606/6665 daripada 4.6666/6709.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9721/9753 daripada 2.9656/9685 dan menyusut berbanding yen kepada 3.6348/6391 daripada 3.6265/6299.

- BERNAMA

Wednesday, May 23, 2018

Bermula Dengan Rempeyek Percuma Kini Sudah Berjaya

Johari Seman     4:31:00 AM    
Permaisuri: “Bermula dengan memberi sampel rempeyek secara percuma kepada orang untuk dirasa, kini permintaan terhadap makanan ringan ini di luar jangkaan,” kata pengusaha rempeyek, Khairil Bariah Razali, 49.

Dia yang lebih mesra disapa Kak Tah berkata, pembabitannya dalam industri itu bermula sejak 10 tahun lalu secara suka-suka.

“Pada mulanya saya cuba mengolah sendiri resipi rempeyek yang sangat popular di negeri kelahiran serta arwah suami iaitu Perak dan kemudian mengagihkan kepada keluarga serta kenalan.

“Kalau ada orang menempah makanan saya selitkan sebekas rempeyek untuk dirasa dan saya tidak sangka ia diterima baik masyarakat di pantai timur terutamanya Terengganu.

“Saya menghasilkan empat jenis rempeyek iaitu ikan bilis, kacang tanah, kacang dal dan hijau yang lebih rangup serta sedikit pedas,” katanya yang ditemui di bengkelnya di Kampung Seri Kenangan, Pelong di sini, semalam.


KAK Tah memerhatikan pekerjanya membungkus rempeyek untuk pelanggan.
Ibu tunggal kepada enam orang anak itu berkata, menjelang musim perayaan permintaan rempeyek meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, sepanjang Ramadan terutama beberapa minggu sebelum Aidilfitri menyebabkan dia dan pekerja akan menghasilkan rempeyek dari awal pagi hingga ke malam.

“Dianggarkan sebanyak 21,000 keping rempeyek dapat dihasilkan menggunakan 70 kilogram (kg) tepung dengan setiap satu kg mampu menghasilkan 300 keping rempeyek.

“Setakat ini, terdapat lapan orang pekerja sepenuh masa serta tiga ahli keluarga yang menguruskan operasi pembuatan rempeyek di sini,” katanya.

Kak Tah berkata, purata pendapatan secara kasar pada musim perayaan boleh mencecah sehingga RM60,000 disebabkan banyak permintaan dan tempahan pelanggan.

“Harga rempeyek bergantung kepada kuantiti dan bekas yang digunakan antara RM12 hingga RM15 bagi setiap 45 keping rempeyek tetapi harga jualan di pasaran biasanya lebih mahal.

“Disebabkan terlalu sibuk menguruskan perniagaan ini, sudah empat tahun kami sekeluarga terpaksa pulang beraya di Perak pada jam 2 pagi Aidilfitri dan tiba di kampung ketika azan Subuh,” katanya.-myMetro

Wednesday, May 24, 2017

DRB-Hicom Jual 4.99 Peratus Pegangan Dalam Proton

Johari Seman     8:53:00 PM    
PUTRAJAYA: DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) memeterai perjanjian dengan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely Holding) yang berpangkalan di China bagi membolehkan kumpulan pengeluar kereta China itu membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton Holdings Bhd.
DRB-HICOM ketika ini memiliki 100 peratus pegangan dalam pengeluar kereta pertama nasional itu. Perjanjian tersebut dimeterai hari ini dan disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Perjanjian itu akan membolehkan Proton memanfaatkan platform meluas dan rangkaian kuasa Geely Holding dan akan membolehkan Proton mempunyai akses ke pasaran sedia ada pengeluar kereta China itu serta pasaran pemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara, kata DRB-Hicom dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata jenama Proton itu akan kekal sedia ada dan akan semakin berkembang dengan penyertaan rakan kongsi strategik asing baharu tersebut.
“Hasrat kami sentiasa untuk menaikkan semula nama Proton. Ia merupakan jenama pertama kereta nasional Malaysia dan mempunyai sejarah lebih daripada 30 tahun. Perjanjian itu akan menjadi pemangkin untuk menaikkan jenama yang diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia,” kata Syed Faisal.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely Holding Group Daniel Donghui Li berkata: “Dengan Proton dan Lotus menyertai portfolio jenama Geely Group, kami mengukuhkan kedudukan global kami dan membangunkan tapak kami di Asia Tenggara.”
Beliau berkata, Geely Holding yakin sepenuhnya dengan jenama dan dan budaya Proton untuk memulihkannya mencapai semula kegemilangannya dengan sokongan teknologi inovatif dan sumber pengurusan Geely.
“Kami juga merancang memanfaatkan potensi penuh Kereta Lotus dan membawakannya ke fasa pembangunan baharu, hasil daripada pengalaman yang ditimba menerusi pemulihan semula Kereta Volvo,” kata Daniel.
Perjanjian itu akan menyaksikan Proton menjual keseluruhan ekuti dalam pengeluar kereta Lotus dari Britain kepada Geely dan Etika Automotive Sdn Bhd, yang menandakan kumpulan itu tidak lagi terlibat dalam segmen kereta sport.
Geely Holdings, yang juga memiliki Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, merupakan satu daripada pengeluar kereta penumpang utama di China.
Ia telahpun memiliki kemudahan di seluruh dunia termasuk 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk dan lima pusat penyelidikan dan pembangunan.
Perjanjian dengan Proton itu akan menawarkan kepada Geely akses ke pasaran utama Asean dan juga penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan di rantau ini.
“Kedua-dua pihak juga dijangka memeterai Perjanjian Muktamad pada Julai 2017,” demikian menurut kenyataan itu.-Bernama

Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/05/24/drb-proton/#ubxH1yHXA3EbqcR4.99

Sunday, October 30, 2016

Yapeim pilih tiga negara buka Ar Rahnu

Johari Seman     1:29:00 PM    
KOTA KINABALU 28 Okt. – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) merancang membuka beberapa cawangan baharu kedai pajak gadai Islam, Ar Rahnu di Indonesia, Kemboja dan Singapura tahun depan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, pemilihan ketiga-tiga negara itu adalah berdasarkan jumlah kepadatan penduduk selain potensi keuntungan pelaburan mikro kredit yang bakal diperoleh yayasan tersebut.

Malah, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Yapeim ber­ada di landasan yang tepat apabila membuat keputusan membuka cawangan baharu di tiga negara berkenaan berdasarkan upah simpan yang diamalkan Ar Rahnu sangat rendah.

“Buat permulaan di Jakarta dan Kemboja, kita akan membuka lima cawangan Ar Rahnu manakala Singapura masih lagi dalam penelitian mengenai jumlah cawangan yang akan dibuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Inspirasi SPM Yapeim 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Abibullah berkata, Yapeim mempunyai perancangan jangka panjang untuk membuka cawangan baharu di 11 negara ASEAN.

Katanya, selain Malaysia, tiga buah negara ASEAN sudah menawarkan perniagaan berkonsepkan Ar Rahnu iaitu Brunei Darussalam, Thailand dan Indonesia.

“Bagaimanapun, bagi merancakkan persaingan industri di Indonesia, kita terpanggil untuk membuka cawangan di negara itu khususnya di Jakarta,” katanya.
-UTUSAN MALAYSIA

Isetan The Japan Store Kedua Dibuka Di KL

Johari Seman     1:26:00 PM    
KUALA LUMPUR: Isetan Mitsukoshi Holdings Ltd yang berpangkalan di Jepun memilih Malaysia untuk membuka Isetan The Japan Store keduanya selepas Paris, Perancis.

Pengurus Besar Bahagian Dagangan Luar Negara (Dasar) Isetan Mitsukoshi Hajime Nakagawa berkata syarikat itu yakin gedung tersebut akan mencatatkan prestasi baik di Malaysia memandangkan pertumbuhan ekonomi dan penduduk di negara ini.

"Selain penduduk tempatan, kami juga menyasarkan pelancong yang melawat negara ini," katanya kepada pemberita semasa pelancaran gedung itu di Pusat Membeli Belah Lot 10, Bukit Bintang, di sini, Khamis.

Isetan The Japan Store hasil gabungan antara Cool Japan Fund dan Isetan Mitsukoshi menawarkan pelbagai produk gaya hidup negara Matahari Terbit itu.

Nakagawa berkata, syarikat itu menyasarkan untuk membawa pelbagai barangan asli dari Jepun kepada pelanggan di sini berikutan sambutan terhadap budaya negara itu di rantau ini.

Premis enam aras di Pusat Membeli Belah Lot 10 menawarkan pelbagai produk berkualiti merangkumi lebih 200 jenama Jepun. - Bernama
-MSTAR

Tuesday, July 12, 2016

Kenaikan Harga Emas Gugat Jualan Tukang Emas

Johari Seman     1:11:00 PM    
PUTRAJAYA: Kenaikan harga emas selepas Brexit telah membawa kepada penurunan jualan sempena Hari Raya kepada tukang emas di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd, Ermin Siow berkata, harga emas Amerika Syarikat telah meningkat kepada sekitar AS$1,350 seauns dan telah menunjukkan trend menaik.

"Oleh kerana harga telah meningkat, berlaku penurunan jualan.

"Ini turut menjejaskan jualan kami untuk Hari Raya tahun ini apabila orang biasanya membeli barang kemas," kata Siow, yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia.

Siow bagaimanapun berkata, keputusan Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana pasaran runcit telah pun mengalami kelembapan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada tahun lepas.

"Saya tidak fikir Brexit adalah punca utama kenaikan harga semasa.

"Sejak GST dilaksanakan pada tahun lepas, jumlah jualan emas sudah menurun," katanya.

Bagi mereka yang berhasrat untuk melabur dalam emas, Siow berkata, ia bukan satu keputusan yang buruk untuk berbuat demikian sekarang.

"Bagi saya, jika pasaran ekuiti tidak baik atau pasaran harta itu tidak begitu baik, ia bukan satu perkara yang tidak baik untuk melabur dalam emas.

"Emas adalah diversifier yang baik. Ramai penganalisis telah mengatakan bahawa ia akan menunjukkan trend peningkatan," katanya.

-mStar

Saturday, July 9, 2016

Sektor Pelaburan, Pelancongan Tidak Terjejas Dengan Ancaman Militan

Johari Seman     11:16:00 PM    
TANAH MERAH: Sektor pelaburan dan pelancongan Malaysia tidak terjejas walaupun wujud ancaman kumpulan militan Daesh, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata keyakinan pelabur dan pelancong untuk terus datang ke Malaysia masih tinggi kerana negara ini terkenal dengan kestabilan politik dan ekonomi yang dijana menerusi perpaduan serta toleransi penduduknya yang berbilang kaum dan agama.

"Setakat ini, Malaysia tak terjejas (dengan ancaman militan Daesh). Kita masih terkenal dengan negara yang aman makmur dan kita tak mahu imej ini tercalar dengan tindak tanduk sebuah kumpulan ekstremis yang nak menghancurkan negara kita.

"Kita tak rela negara kita dihancurkan oleh kumpulan ini...setakat ini sektor pelaburan dan pelancongan tak terjejas dan kita doakan supaya keadaan terus terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Batu 10 di sini, Jumaat.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi kumpulan militan Daesh atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lepas berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Mustapa berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana ia bakal memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara pada masa depan jika tidak dipertahankan.

"Kalau kita porak peranda, kalau negara kita huru hara, kalau kita bertelagah sesama sendiri, kalau kita berperang sesama sendiri maka ini akan melemahkan perpaduan dan ekonomi kita.

"Kita tak mahu negara kita berada dalam satu keadaan yang sukar untuk kita pulihkan. Kita kena jaga sebelum ia berlaku," katanya.

-mStar

Thursday, July 7, 2016

Projek MRT RM6 Bilion Ditawarkan

Johari Seman     10:26:00 PM    
SERI KEMBANGAN: Kesemua baki enam pakej jejambat untuk pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), bernilai RM6 bilion, akan dianugerahkan pada suku pertama 2017.

Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) dijangka membuat panggilan tender bagi kesemu pakej ini menjelang suku ketiga tahun ini.

"Kami dalam proses menyiapkan tender untuk baki enam daripada 10 pakej jejambat bagi laluan SSP," kata timbalan pengarah projek, Maslan Othman.

"Dan menjelang suku ketiga tahun ini, kesemu pakej ini akan ditender atau dianugerahkan pada suku pertama tahun depan," katanya pada taklimat berhubung perkembangan laluan SSP di sini, Isnin.

Maslan berkata, beliau tidak dapat menjeaskan nilai kesemua pakaj itu.

Jajaran SSP sepanjang 52.2 kilometer, yang turut dipanggil sebagai MRT2, dianggarkan kos bernilai lebih RM28 bilion. Ia merupakan laluan MRT kedua untuk dibangunkan di bawah MRT Lembah Klang.

Setakat ini, empat pakej jejambat dan satu kerja bawah tanah, bernilai kesemuanya RM20.24 bilIon, telah dianugerahkan kepada syarikat kumpulan pembinaan tempatan.

Firma India Batal Cadangan Jual Anak Syarikat Di Malaysia Pada AS$500 Juta

Johari Seman     10:23:00 PM    
Ballarpur Industries Ltd (BILT), kilang pulpa dan kertas terbesar di India, telah membatalkan cadangan penjualan anak syarikatnya di Malaysia, Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI), kepada Pandawa Sakti Sdn Bhd pada US$500 juta (kira-kira RM2.02 bilion).

Ballarpur, yang memiliki 98.08 peratus pegangan melalui firma pelaburan berpangkalan di Belanda, Ballarpur Paper Holdings BV dalam SFI, membatalkan perjanjian selepas pembeli tidak dapat memenuhi tarikh akhir setelah beberapa kali lanjutan masa.

"Oleh kerana transaksi itu belum disempurnakan dalam tempoh yang lama sehingga 30 Jun 2016 dan berdasarkan permintaan oleh Pandawa Sakti (Sabah) Sdn Bhd, Ballarpur Paper Holdings BV menamatkan perjanjian jualan saham itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Saham Bombay, Khamis.

Berikutan penamatan itu, syarikat itu juga memohon jaminan prestasi sebanyak US$50 juta (RM202 juta) yang diberikan oleh pembeli, katanya.

Ballarpur menandatangani perjanjian untuk menjual keseluruhan kepentingannya dalam SFI pada September lepas dan pada asalnya dijangka memuktamadkan perjanjian itu dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, selepas itu, tarikh akhir pertama kali dilanjutkan hingga Februari, kemudian April dan Mei sebelum pihak-pihak terlibat membuat keputusan mengenai tarikh akhir pada 30 Jun, 2016.

Ballarpur berhasrat untuk menggunakan hasil daripada cadangan penjualan itu untuk mengurangkan hutangnya.

Menurut laporan, syarikat itu telah memperoleh SFI, syarikat kertas terbesar Malaysia pada US$261 juta (RM1.05 bilion) pada 2007.-- Bernama

Saturday, April 23, 2016

Syarikat ICT Dan Pertahanan Turki Mahu Cari Rakan Kongsi

Johari Seman     5:50:00 PM    
KUALA LUMPUR: Lebih 20 syarikat teknologi tinggi utama dari dua bandar teknologi di Turki dengan pengalaman dalam kluster pertahanan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mahu mencari rakan kongsi perniagaan berpotensi di sini pada 10 dan 11 Mei.

Syarikat-syarikat perkakasan dan perisian ini daripada taman teknologi Bilkent Cyberpark and ODTU Teknokent akan menjadi sebahagian daripada rombongan delegasi yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Rendah Kementerian Pengangkutan, Hal Ehwal Maritim dan Komunikasi Turki, Galip Zerey, dan disertai Pengerusi Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi Turki Omer Fatih Sayan.

Kunjungan itu diselaraskan oleh Pejabat Kaunselor Komersial Kedutaan Turki di sini.

Syarikat-syarikat daripada bandar teknologi ini telah menjalankan analisis penyelidikan dan mendapati agensi dan syarikat Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pengalaman mereka dalam keselamatan siber, aplikasi data, penyelesaian e-kerajaan, penyelesaian komunikasi antara mekanikal dan penyelesaian industri pertahanan.

Delegasi itu dijangka bertemu dengan beberapa agensi dan organisasi utama Malaysia seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia dan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia.

Bersempena dengan lawatan itu, Forum Perniagaan Global Malaysia (MBGF) akan mengadakan program padanan perniagaan pada kedua-dua hari tersebut.

Pengarah Urusan MBGF, Nordin Abdullah berkata, program itu akan membolehkan syarikat Turki mengetahui dengan lebih baik lagi keperluan bakal rakan kongsi perniagaan mereka dari Malaysia.

Malaysia dan Turki memeterai perjanjian perdagangan bebas tahun lepas untuk menghapuskan duti bagi 70 peratus daripada produk.

Perdagangan dua hala tahunan antara kedua-dua negara dianggarkan berjumlah US$1 bilion (US$1 = RM3.89).

Bilkent Cyberpark merupakan satu daripada taman teknologi pertama dan perintis di Turki.

Setakat ini, terdapat 220 syarikat berteknologi tinggi beroperasi di taman itu, kebanyakannya adalah dalam bidang ICT.

Sebagai taman teknologi dan inkubator utama di Turki, ia menyediakan pelbagai program untuk membantu mengantarabangsakan proses syarikat penyelidikan dan pembangunan (R and D) negara itu.

ODTU Teknokent, yang menjadi taman teknologi pertama dan paling inovatif di Turki menyediakan prasarana kontemporari kepada penyelidik dan syarikat yang membangunkan dan menghasilkan teknologi untuk meningkatkan daya saing antarabangsa Turki.

Ia mempunyai 320 syarikat penyewa dengan lebih 5,000 kakitangan, yang mana 90 peratus adalah pekerja mahir.

Ia juga memiliki kawasan tertutup seluas 120,000 meter persegi yang dikhususkan bagi operasi R and D.

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .